Tutup

Undang-undang kekang berita palsu perlu segera diwujudkan - Mustapa

Undang-undang kekang berita palsu perlu segera diwujudkan - Mustapa
Mustapa ketika hadir pada Program Bersama Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) di Bachok hari ini. Turut sama Presiden Himsak Datuk Mohd Faizal Daud (depan kanan). --fotoBERNAMA
BACHOK: Undang-undang bagi mengekang berita palsu perlu segera diwujudkan bagi membendung tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat keamanan dan keharmonian negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata seharusnya, undang-undang ini sudah lama diwujudkan supaya masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat.
"Berita palsu juga boleh meruntuhkan ekonomi, kewangan serta menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Pemimpin Mahasiswa Kelantan 1Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan mengkaji perkara itu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata berita palsu termasuk melalui media sosial boleh mempengaruhi dan menghakis keyakinan terhadap institusi kerajaan seperti yang pernah berlaku kononnya Tabung Haji menghadapi masalah kewangan yang ternyata tidak benar.

"Kita tidak menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk menentukan keadilan supaya tidak ada mana-mana pihak dianiaya dan tidak ada gunanya kita mengambil tindakan setelah keadaan sudah menjadi mudarat," katanya.

Beliau turut membidas pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan inisiatif kerajaan mewujudkan undang-undang berkenaan dan menyifatkan tindakan mereka itu berbaur politik.

Terdahulu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, turut meninjau pembinaan Hospital Bachok di sini yang bernilai RM140 juta dan menyifatkan kemajuan pembinaan kini sudah mencapai 24 peratus berbanding sasaran asal 17 peratus.

Beliau berkata hospital yang mula dibina pada Sept 2016 itu, akan dilengkapi pelbagai peralatan terkini dan mempunyai 76 katil itu dijangka dapat disiapkan menjelang Sept 2019.

Katanya hospital berkenaan adalah antara pelbagai projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan rakyat Kelantan.

-- BERNAMA