Satu undang-undang khas bagi melindungi biodiversiti di negara ini bakal dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun hadapan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, rang undang-undang berkenaan Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) kini di dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Katanya lagi, dengan adanya undang-undang berkenaan, ia dapat mengawal selia aktiviti akses kepada sumber biologi dan pengetahuan tradisi berkaitan kegunaan sumber biologi selain menangani masalah "biopiracy."

Tambahnya, ia juga bertujuan memastikan faedah yang terhasil dikongsi secara adil dan saksama selaras dengan agenda negara menjana kekayaan baharu daripada sumber biologi.

"Dengan undang-undang ini, kita boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba mencuri hasil daripada hutan dan alam sekitar kita untuk tujuan dieksploitasi dan dijual di luar negara.

"Kadang-kadang ada orang yang masuk menerusi universiti kita, dia buat kajian menggunakan sumber daripada hutan kita, selepas itu ia dipatenkan di luar negara dan negara kita kerugian daripada segi itu. Jadi sekarang apabila undang-undang ini diluluskan nanti, kita boleh ambil tindakan ke atas mereka," kata Wan Junaidi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS), di sini, hari ini.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 120 wakil kerajaan persekutuan dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan penyelidikan itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai ABS sebagai persediaan negara dalam melaksanakan Undang-undang Kebangsaan ABS apabila ia diterima pakai kelak.

Penggubalan rang undang-undang berkenaan juga selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) iaitu perjanjian antarabangsa mengenai pemuliharaan kepelbagaian biologi.