Undi 18 : Apa hala tuju kita?

Undi 18 : Apa hala tuju kita?
Majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan halatuju negara - Foto Fail
PENURUNAN had umur layak mengundi kepada 18 tahun menjadi topik yang hangat diperbincangkan sejak kebelakangan ini.

Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dan telah diluluskan, bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi.

Dan semestinya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ingin menjuarai isu ini yang merupakan salah satu daripada manifesto beliau pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Secara keseluruhannya, majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan halatuju negara.

Hanya terdapat beberapa buah negara seperti Kuwait, Lebanon, Oman, Singapore, Samoa Island, Tonga, UAE, dan Malaysia masih mengamalkan umur mengundi 21 tahun dan jika diteliti, hampir kesemua negara-negara ini sedang dalam proses untuk mencadangkan agar umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Bagi memastikan amalan demokrasi kita mencapai apa yang dikatakan sebagai ‘international best practice’, maka adalah amat wajar cadangan menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun ini diberi sokongan sepenuh.

Malahan, mengikut garis panduan United Nation Convention of Right of Child, umur 18 tahun ini diiktiraf sebagai cukup dewasa dan boleh membuat keputusan.

Jika diteliti juga menerusi perkembangan pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan orang muda, boleh dikatakan Malaysia sebenarnya bersedia untuk membenarkan belia berumur 18 hingga 20 tahun ini untuk memilih.

Terdapat ramai juga yang dilihat mempertikaikan sistem pendidikan Malaysia (pendidikan sivik dan pendidikan pengundi) yang dikatakan tidak memberi persediaan yang cukup kepada belia untuk terlibat dalam proses pilihan raya negara.

Persoalannya, sampai bila?

Bukankah sepatutnya ini dijadikan peluang terbaik bukan sahaja mengubah umur mengundi, tetapi mengubah sistem pendidikan negara ke arah yang lebih dinamik?

Secara terus terang, jika faktor pendidikan sivik dan pengundi dijadikan alasan untuk menidakkan hak belia 18-20 tahun untuk mengundi, percayalah bahawa terdapat ramai juga belia umur 30 tahun yang masih diragukan kesediaan mereka untuk mengundi.

Terdapat banyak penulisan ilmiah universiti tempatan yang menunjukkan pengundi muda (21 hingga 30 tahun) masih tidak faham asas-asas pilihan raya.

Oleh yang demikian, tidak wajar jika faktor ini dipersalahkan.

Apa yang perlu, adalah memperkasa sistem pendidikan sivik dan pendidikan pengundi di Malaysia, supaya mereka lebih bersedia.
Jika Malaysia ingin mengambil contoh negara luar sebagai rujukan asas, Australia merupakan salah sebuah negara yang boleh dijadikan rujukan dalam isu pendidikan sivik dan pengundi.

Australia National Electoral Education Centre sebagai contoh, merupakan pusat pendidikan pengundi negara Australia yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan pengundi kepada segenap lapisan masyarakat bagi mempelajari apa itu demokrasi dan pilihan raya.

Menariknya, antara yang paling ramai membuat lawatan ke tempat tersebut adalah pelajar berusia 7-10 tahun dan kanak-kanak orang asal (aboriginal) Australia.

Tempoh lawatan adalah selama 90 minit dan modul akan sentiasa diubahsuai mengikut tahap pelawat-pelawat yang hadir. Dikatakan juga, lawatan ke National Electoral Education Centre ini juga menjadi amalan yang seolah-olah ‘wajib’ bagi sekolah-sekolah rendah di Australia.

Modul demokrasi dan pilihan raya ini juga diajar di dalam subjek pendidikan sejak umur 7 tahun.

Pelajar diajar mengenai asas demokrasi, kepentingan mengambil bahagian dan kepentingan membuat pilihan.

Paling menarik, subjek pilihan raya ini diubah kepada satu bentuk yang menarik minat dan tidak membebankan.

Antaranya di dalam subjek Pendidikan Jasmani, pilihan raya digunakan untuk menentukan sukan apa yang akan dimainkan. Atau, mereka akan memilih apakah menu yang akan disajikan semasa makan tengah hari.
Namun, kesemua ini menggunakan sistem pilihanraya sebenarnya.

Bermula dengan semak peti undi, mengundi, dan mengira undi. Melalui elemen ini, pelajar akan belajar apa itu demokrasi, apa kepentingan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan proses memilih dan buat keputusan.

Bak kata mereka, jika tersalah pilih atau tidak memilih: “Gosh, they only will serve vegetable for our lunch tomorrow!”. Maka di situ juga, mereka belajar erti bertanggungjawab.‘Pilihan Raya’ ini juga akan menjadi semakin serius mengikut perkembangan umur mereka, sehinggalah mereka memilih perwakilan pelajar semasa high school.

Melalui cara ini, kegusaran orang ramai tentang belia yang dikatakan tidak bersedia dan mudah dipengaruhi oleh pelbagai pihak.

Adalah diyakini, jika belia diberi persediaan yang awal dan maklumat yang mencukupi melalui pendidikan sivik dan pendidikan pengundi, pasti negara bakal melahirkan belia yang amat berwibawa dan bertanggungjawab.

Namun persoalan yang timbul, bersediakah kita untuk memberi ruang kepada sistem pendidikan seperti ini supaya diimplimentasikan di sekolah-sekolah dalam negara?

Ini semua perlu kerjasama, komitmen dan keterbukaan semua. Jika ini dianggap sebagai beban tambahan kerja, maka boleh kita lupakan semua perkara-perkara ini. Kementerian Pendidikan Malaysia harus memainkan peranan yang amat besar.

Tanggungjawab ini juga boleh diberikan I-Lead dan Malaysia Future Leader School yang berada di bawah seliaan KBS.

Proses ini akan menjadi sukar jika ada antara mereka yang merasakan ini adalah sebagai satu beban tugas tambahan.

Selain itu, mengaitkan perkara ini kepada politik juga dilihat satu perkara yang sepatutnya tidak dilakukan. Politik sememangnya sebahagian daripada demokrasi.

Namun demokrasi itu, tidak semestinya adalah politik.

Pendaftaran pemilih automatik juga dilihat menjadi syarat blok pembangkang jika kerajaan mahu merealisasikan undi 18 tahun ini.

Sememangnya, ia adalah satu perkara yang diinginkan oleh semua. Namun sebenarnya, ia tidaklah semudah yang disangkakan.

Penyelarasan alamat kediaman dan juga data integrasi adalah mesti diselesaikan sebelum kita dapat melaksankan pendaftaran secara automatik ini.

Mengambil contoh paling mudah, Perkara 119 (3) telah menetapkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai pemilih jika pada tarikh kelayakan mereka ditahan sebagai orang tidak sempurna akal atau mengalami hukuman pemenjaraan.

Bersediakah agensi-agensi terlibat dalam menyatupadukan data-data tersebut?

Keputusan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pemilih automatik ini juga tidak dilaksanakan terburu-buru. Ini kerana walaupun ia nampak seperti hanya melibatkan urusan-urusan operasi antara agensi, implikasi terhadap keputusan ini sebenarnya besar.

Sebagai contoh, jika pendaftaran automatik dilaksanakan, jangan terkejut jika ada pengundi yang alamatnya berdaftar di Sulaiman Court (kini bangunan SOGO, KL) atau perumahan flat di Pekeliling yang sudah dirobohkan baru-baru ini.

Perkara ini adalah kerana, tanggungjawab individu untuk menukar alamat kad pengenalan masih dipandang ringan oleh majoroti masyarakat Malaysia.

Justeru, apa yang paling mustahak untuk dilaksanakan dengan segera adalah menguatkuasakan dengan lebih serius Perkara 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang mewajibkan individu untuk menukar alamat kad pengenalan jika tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 90 hari.

Namun apa yang pasti, perkara ini adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan. Malahan, usaha-usaha ke arah merealisasikan perkara ini sedang giat dijalankan oleh kerajaan.

Namun, sementara menunggu perkara ini diselesaikan, penulis ingin berkongsi satu kaedah yang dijalankan juga di Australia yang dinamakan sebagai ‘reserve list’.

Dalam perkara ini, belia seawal usia 16 tahun sudah dibenarkan mendaftar sebagai pemilih dan akan dimasukkan ke dalam reserve list ini.

Apabila mencapai umur 18 tahun, mereka secara automatik akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih induk.

Perkara yang sama juga boleh dilakukan di Malaysia. Contohnya pada awal sesi persekolahan tingkatan 5, borang daftar pemilih boleh diisi dan nama mereka dimasukkan ke dalam reserve list.

Semasa umur mereka mencapai 21 tahun (atau 18 tahun jika diluluskan), mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih sebenar.

Perkara ini amat wajar dipertimbangkan dan boleh juga dikatakan sebagai ‘hampir automatik’.

Jadi secara kesimpulannya, belia umur 18 hingga 20 tahun pada hakikatnya sudah bersedia untuk diberi tempat dalam proses pilihan raya Malaysia.

Namun, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjadikan mereka sebagai pengundi bermaklumat.

Dalam hal ini, peranan I-Lead dan MFLS, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran adalah amat penting dalam melahirkan belia yang lebih bersedia dan bermaklumat.

Penulis berpandangan, semakin awal belia diberikan hak untuk terlibat di dalam proses demokrasi, semakin cepat jugalah mereka bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Dari sudut pandang sistem pendaftaran automatik pula, penulis berpandangan berilah sedikit ruang untuk agensi-agensi kerajaan yang berkenaan menyelesaikan terlebih dahulu pekara-perkara mustahak sebelum hasrat ini dapat direalisasikan.

Janganlah kita mengambil keputusan ini secara terburu-buru tanpa memikirkan kesan sampingan lain terutama apa yang telah dibincangkan di atas.

Ini adalah amat penting dalam memastikan daftar pemilih yang bakal lahir hasil daripada sistem pendaftaran automatik ini menjadi lebih tepat dan bersistematik.

Ini juga selaras dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya yang menyatakan sememangnya pendaftaran automatik ini menjadi salah satu cadangan untuk diimplimentasikan, namun beberapa perkara harus diselesaikan terlebih dahulu.


* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan pelajar sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Tag: Undi 18, penurunan had umur mengundi


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.