Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang menyediakan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sistem serta infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya menjangka semua perkara itu akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

"Jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada Julai 2021. Selain itu, bagi menghadapi keperluan pengundi yang dijangka akan meningkat menjadi 22.7 juta pengundi, SPR sedang giat menjalankan urusan pengemaskinian daerah mengundi.

"Program ini akan menyelaras semua keperluan pusat-pusat mengundi tambahan termasuk dengan mewujudkan pusat mengundi alternatif di kawasan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dengan Parti-Parti Politik dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Mengenai program berkenaan, Azhar berkata ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan parti politik dan NGO terhadap isu-isu dan dasar baharu Kerajaan yang berkaitan dengan ketiga-tiga fungsi SPR.

"Seramai 28 orang yang mewakili 14 parti politik, manakala seramai 32 orang yang mewakili 14 NGO telah hadir memberikan cadangan dan pandangan mereka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan fungsi SPR iaitu pendaftaran pemilih, penjalanan pilihan raya dan persempadanan," katanya.

Di samping itu, beliau berkata SPR turut menjelaskan tentang program atau aktiviti kempen pilihan raya di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memerlukan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Azhar berkata ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima akuan daripada mahkamah mengenai keputusan itu.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas, dengan itu memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu.

-- BERNAMA