Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata usaha itu bagi mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku di dalam masyarakat.

“Bagi mengesan para peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh melibatkan golongan ini, pihak UNHCR turut bekerjasama dengan pihak Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET), Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia; selaku rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka.

“KKM turut serta dalam menjalankan aktiviti ini melalui penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya pada sidang di sini hari ini.

Jelas beliau, pasukan bersama berkenaan akan menyalurkan maklumat mengenai jangkitan COVID-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka.

Malah, pasukan itu juga akan memberi penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan COVID-19, walaupun mereka tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Ia bagi mengambil kira tempat tinggal kelompok komuniti itu yang kecil dan sentiasa berinteraksi rapat.