Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) menyambut baik langkah Malaysia memperbaharui komitmennya untuk mengurangkan dan mengekang isu orang tak bernegara di negara ini yang selaras dengan Pelan Tindakan Global bagi Menghentikan Status Tak Bernegara menjelang 2024.

UNHCR, dalam satu kenyataan pada Khamis, menyebut bahawa badan kemanusiaan PBB itu turut mengakui langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia untuk mengguna pakai prosedur lebih telus dalam memudahkan permohonan bagi kewarganegaraan dan mencegah kanak-kanak Malaysia daripada menjadi orang tak bernegara.

"Kesemua mereka mungkin telah tinggal di Malaysia selama beberapa generasi tetapi tidak pernah mendaftar sebagai warganegara Malaysia, atau kehilangan hubungan dengan negara asal keluarga mereka.

"Kebanyakan komuniti ini tinggal di kawasan sempadan serta terpencil, dan memiliki akses yang amat terhad kepada maklumat mengenai prosedur dokumentasi termasuk cara untuk mendaftarkan anak mereka ketika lahir," kata wakil UNHCR ke Malaysia Thomas Albrecht dalam kenyataan itu.

"Komitmen berterusan Malaysia untuk menyelesaikan situasi orang tak bernegara yang sedia ada, mencegah kes baharu daripada muncul serta mengenal pasti dan melindungi dengan lebih baik populasi orang tak bernegara selain memberi peluang kepada komuniti ini untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat Malaysia," katanya.

Pada 2014, UNHCR melancarkan satu Kempen #IBelong' secara global yang bertujuan menghentikan status tak bernegara menjelang 2024.

Sejak itu, sejumlah 15 negara telah menandatangani dua perjanjian utama berkaitan orang tak bernegara iaitu Konvensyen PBB berkaitan Status Orang Tak Bernegara 1954 dan Konvensyen mengenai Pengurangan Orang Tak Bernegara 1961.

Jumlah negara yang menerima Konvensyen PBB berkaitan Status Orang Tak Bernegara 1954 dijangka melepasi 100 negara tidak lama lagi.

Dalam tempoh lima tahun pertama kempen, lebih 220,000 orang tak bernegara telah memperoleh kewarganegaraan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap di Geneva, Switzerland pada Isnin semasa sesi khas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UNHCR yang dikenali sebagai Segmen Peringkat Tinggi mengenai isu Orang Tak Bernegara, mengambil maklum kemajuan Kempen #IBelong bagi menghentikan isu orang tak bernegara menjelang 2024.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia kekal komited untuk menjalin kerjasama dengan UNHCR dalam usahanya menangani isu orang tak bernegara.

-- BERNAMA