Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia mengalu-alukan pelancaran Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak oleh kerajaan Malaysia dan bilik khas ''Bilik Permata'' bagi keselesaan saksi kanak-kanak.

Wakil UNICEF Malaysia, Marianne Clark-Hattingh berkata pelancaran mahkamah khas itu merupakan langkah ketara ke arah penubuhan sistem dan struktur perlu dalam melindungi kanak-kanak mangsa jenayah seksual.

"UNICEF sedia memberi sokongan dan kepakaran kepada jawatankuasa kerjanya bagi mewujudkan prosedur operasi standard bagi menangani kes melibatkan kanak-kanak mangsa seksual," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis melancarkan mahkamah khas itu bagi menangani kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang merupakan mahkamah yang pertama di Asia Tenggara.

Najib berkata buat permulaan, mahkamah di Istana Keadilan di Putrajaya tersebut akan mendengar kes yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara Bilik Permata pula dirasmikan juga pada Khamis oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung kepada Program Permata.

Bilik tersebut dilengkapi dengan peti televisyen, komputer dan permainan kanak-kanak dan perpustakaan mini hasil sumbangan Yayasan Permata.

Clark-Hattingh menambah penubuhan mahkamah tersebut merupakan langkah penting dalam siri inisiatif yang diperlukan bagi memastikan sistem perundangan Malaysia terus melindungi kanak-kanak mangsa jenayah seksual.

"Sebagai tambahan, sistem keadilan jenayah Malaysia adalah digalakkan untuk mempertimbang penambahbaikan tambahan kepada amalan mahkamah bagi mangsa kanak-kanak termasuk mempunyai hakim dan pendakwa yang berdedikasi, panduan amalan yang jelas untuk mereka, prosedur khas bagi keterangan daripada mangsa kanak-kanak dan saksi serta halatuju praperbicaraan atau pendengaran peraturan asas antara hakim dan peguam," katanya.

-- BERNAMA