Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat menjadi peneraju utama dalam industri ilmu melalui jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi terkemuka di seluruh dunia, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurutnya usaha berterusan memperkasakan jaringan itu menjadi landasan ke arah meletakkan UniMAP dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

"Ia bukan langkah mudah kerana cabaran dalam industri ilmu begitu besar apatah lagi untuk menjadi antara yang terbaik," katanya selepas menandatangani surat hasrat (LOI) UniMAP bersama University of Peradeniya di sini semalam.

Pada majlis itu, University of Peradeniya diwakili naib canselornya, Prof Upul B. Dissanayake.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Canselor UniMAP, berangkat menyaksikan majlis menandatangani LOI itu. Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, Wan Zaidi Wan Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Zul Azhar percaya UniMAP telah berada dalam peta industri ilmu di persada antarabangsa melalui kerjasama dengan universiti terkemuka terutama dalam bidang penyelidikan dan akademik.

Beliau berkata UniMAP bersikap proaktif dalam mencari pasaran ilmu dan tidak membiarkan peluang berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan.

Pada masa ini, UniMAP yang diwujudkkan pada 2001, menjalin kerjasama dengan banyak universiti terkemuka di seluruh dunia dan usaha melebarkan jaringan itu tidak pernah mati.

Mengenai program Jelajah Ilmu UniMAP ke Sri Lanka, beliau yakin program itu berbaloi kerana institusi pengajian tinggi yang dilawati menunjukkan kesungguhan untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh dengan UniMAP.

Antara universiti yang menunjukkan minat termasuk University of Meratuwa dan International College of Business and Technology, kedua-duanya terletak di Colombo, di samping University of Peradeniya di Kandy.

UniMAP, yang kini memiliki kira-kira 14,000 pelajar, mempunyai lebih 12,000 alumni yang telah berada dalam pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang terutama berkaitan kejuruteraan.

University of Peradeniya diasaskan pada 1942 dengan nama asalnya University of Ceylon sebelum bertukar ke nama baharu yang digunakan sehingga kini mulai 1978.

-- BERNAMA