Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan robot Naseem ketika menyampaikan skrol pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA.

Pengarah Pusat Perancangan Strategik dan Pengurusan Sistem Kualiti dan Risiko, Prof Madya Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah, berkata kemunculan robot tersebut mendapat perhatian lebih 1,500 graduan, kakitangan dan ibu bapa yang berada di dalam Dewan Al Muktafi Billah Shah, di sini.

Katanya, robot Naseem telah direka bentuk, dibangun dan diprogram sepenuhnya oleh UniSZA, malah ia amat membanggakan apabila mendapat pujian daripada pelbagai, pihak sejak hari pertama konvokesyen iaitu Isnin lalu, hinggalah berakhir hari ini.

"Ini adalah hasil usaha 'Mechanical, Electronic, Computing and Arts Research Group' (MECCA) iaitu kumpulan penyelidikan yang terdiri daripada lima pensyarah di Fakulti Reka bentuk Industri dan Teknologi (FRIT) dan Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK).

"Robot Naseem ini dicetak menggunakan teknologi cetakan 3D dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Engku Fadzli berkata robot tersebut adalah robot ke-3 yang telah dibangunkan oleh MECCA yang merupakan kumpulan rasmi mewakili UniSZA dalam pertandingan Robocon peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Robot berkenaan diberi nama Naseem yang membawa maksud 'Hembusan Bayu Yang Lembut' mewakili lapan nilai teras yang terkandung pada lapan kelopak utama logo UniSZA iaitu asalah Ilmu, Iman dan Akhlak, Amal, Kepimpinan, Koloborasi, Keusahawanan, Transformasi dan Inovasi.

-- BERNAMA