Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat keputusan membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ketetapan itu selaras keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi sesi tahun ini.

“Keputusan ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) bermula Tahun 1 hingga 6 di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan berbagai kaedah.

"Justeru, bagi tujuan ini, Jakim akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: COVID-19: UPSR, PT3 tahun 2020 dibatalkan

BACA: KPM saran UPKK dibatalkan - Mohd Radzi

BACA: Tarikh peperiksaan SPM, SVM, STPM, STAM ditunda - Radzi

Zulkifli dalam pada itu berkata, sesi pembukaan persekolahan KAFA di seluruh negara juga akan dibuat mengikut ketetapan KPM.

KPM sebelum ini menyarankan semua Majlis Agama Negeri selaras dengan keputusan kementerian tersebut untuk membatalkan UPSR dan PT3.

Ketika ini, semua sekolah ditutup susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan adalah tertakluk kepada perkembangan semasa serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).