Tutup

UPM - Universiti 'hijau' ke-28 terbaik dunia

UPM - Universiti 'hijau' ke-28 terbaik dunia
UPM berada pada kedudukan kedua di Asia Tenggara dan ketiga di Asia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) naik empat anak tangga kepada kedudukan 28 terbaik dunia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmatic World University Ranking 2019.

Selain universiti nombor satu negara selama 10 tahun berturut-turut dalam kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar, UPM turut berada dalam lingkungan empat peratus kampus paling lestari dunia.
Penarafan Ul-Greenmetric ialah pertama dan satu-satu penarafan yang menilai komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran serta inisiatif melestarikan kampus.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, dalam kenyataan malam tadi, berkata UPM berada pada kedudukan kedua di Asia Tenggara dan ketiga di Asia.
"Kejayaan ini merupakan usaha seluruh warga UPM yang menjadikan usaha kelestarian alam sebagai amalan serta komitmen peribadi, dan UPM sentiasa membuat penambahbaikan dalam menghasilkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui di dalam kampus.

"Kami memastikan elemen bangunan hijau turut ditampilkan dalam setiap dasar pembangunan dan pengubahsuaian pembinaan dalam universiti dan turut menerapkan isu berkaitan kelestarian alam dalam silibus pengajaran dan pembelajaran dalam kelas," katanya.

Tambah beliau semua entiti di UPM bergerak secara sistematik dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, pemuliharaan air dan program kitar semula.

Ranking UI-Greenmetric menilai usaha melestarikan kampus hijau menggunakan lebih 60 indikator dalam penilaiannya yang merangkumi enam skop utama iaitu keluasan tanah dan infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim (21 peratus), sisa buangan (18), air (10), pengangkutan (18) dan pendidikan (18).

Penarafan itu melibatkan 780 universiti dari 85 negara dengan universiti dari benua Amerika dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

-- BERNAMA