Pencapaian keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 meningkat dan murid yang mendapat keputusan cemerlang semua Gred A juga meningkat kepada 38,344 orang berbanding pencapaian pada tahun 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata sejumlah 443,407 murid menduduki UPSR pada tahun ini dan murid yang mendapat semua Gred A meningkat 0.76 peratus, iaitu daripada 7.89 peratus pada tahun 2014 kepada 8.65 peratus pada tahun ini.

Tahun lepas, 36,304 pelajar daripada 460,407 calon mendapat semua Gred A.

"Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) UPSR meningkat sebanyak 0.02 mata, iaitu daripada GPN 2.29 pada 2014 kepada 2.27 tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya mengumumkan analisis keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.


Khair berkata 255,801 murid mendapat pencapaian Baik (minimum Gred C tidak termasuk semua Gred A), turun 1.34 peratus daripada 59.03 peratus pada tahun 2014 kepada 57.69 peratus pada tahun ini.

Sejumlah 11,792 murid pula mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum (semua Gred D atau Gred E atau kombinasi kedua-dua gred) menurun 0.21 peratus kepada 2.66 peratus pada tahun ini daripada 2.87 peratus pada tahun 2014, katanya.

"Peratusan kumpulan calon di bawah tahap penguasaan minimum ini merupakan yang terendah dalam tempoh empat tahun," katanya.

Khair berkata sebanyak tujuh kertas peperiksaan mencatatkan peningkatan prestasi dan lima kertas peperiksaan menunjukkan penurunan prestasi berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), berbanding tahun 2014.

Tujuh kertas peperiksaan yang mencatatkan peningkatan prestasi ialah Bahasa Melayu (Penulisan) di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Melayu (Pemahaman) di SK, Matematik, Sains, Bahasa Tamil (Pemahaman), Bahasa Tamil (Penulisan), katanya.

Lima kertas peperiksaan yang menunjukkan penurunan GPMP ialah Bahasa Melayu (Pemahaman) di SJK, Bahasa Inggeris di SK dan SJK, Bahasa Cina (Pemahaman), Bahasa Cina (Penulisan), katanya.

"Nilai GPMP yang lebih kecil menunjukkan prestasi mata pelajaran yang lebih baik," katanya.

Menurut Khair, 1,991 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki UPSR tahun ini dan CBK yang mendapat pencapaian Cemerlang meningkat sebanyak 0.30 peratus kepada 22 calon pada tahun ini, berbanding 16 orang pada tahun lepas.

"Mereka terdiri daripada enam calon rabun, seorang spastik, dua calon pekak dan 13 calon lain-lain kecacatan," katanya.

Khair berkata peratusan murid yang mendapat pencapaian Cemerlang di bandar dan luar bandar masing-masing meningkat sebanyak 0.88 peratus dan 0.62 peratus berbanding tahun lepas, menjadikan jurang pencapaian Cemerlang antara bandar dan luar bandar bertambah 0.26 peratus.

Beliau berkata:"Pencapaian calon di bandar pada tahun ini menunjukkan pencapaian yang sama berbanding tahun lalu dengan gred purata 2.21 mata.

Pencapaian calon di luar bandar pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata iaitu 2.34 berbanding 2.38 mata pada tahun 2014. Oleh yang demikian, jurang pencapaian keseluruhan calon bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.04 mata," katanya.