Urusan pemberian tender Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) masih belum muktamad, kata Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin menegaskan bahawa proses itu telah dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan yang tetapkan dan tidak berlaku skandal seperti didakwa.

"Sebenarnya semua keputusan belum muktamad, selagi ia tidak dimuktamadkan oleh MOF (Kementerian Kewangan), ia adalah satu proses yang sedang berjalan," katanya melepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-125 Jabatan Perikanan Malaysia pada Jumaat.

Beliau berkata apa dilakukan dalam kementerian adalah mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menimbang serta memperjuangkan nasib peladang dan petani.

Sementara itu, Salahuddin turut mengaku ada menulis surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon lantikan terus kepada Nafas pada 7 Nov namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Ya, saya tulis kepada PM kerana saya tulis itu adalah tanggungjawab saya dan itu adalah proses," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu akan berbeza sekiranya, ia telah dimuktamadkan dan Surat Sedia Terima (SST) telah dikeluarkan.

"Sekiranya SST telah dikeluarkan dan kalau saya langgar itu salah lah," katanya.

Semalam, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas MOA dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

-- BERNAMA