Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Usah bimbang, bekalan keperluan cukup - Ismail Sabri

Usah bimbang, bekalan keperluan cukup - Ismail Sabri
Ismail Sabri menasihatkan orang ramai dan pengusaha supaya mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan.
PUTRAJAYA: Bekalan barangan keperluan harian di negara ini mencukupi dan mudah untuk diperolehi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak bimbang kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan tiada masalah bekalan bagi jangka masa pendek dan panjang.
Menjelaskannya, beliau memberitahu, pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dilakukan dengan kerap.

"Semalam (31 Mei), penguat kuasa KPDNHEP telah melakukan pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 775 premis perniagaan termasuk peruncit (626), pemborong (124) dan pengilang(25).
"Hasil pemantauan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Selain itu katanya, pemeriksaan ke atas 2,063 premis pula mendapati 1,884 daripada pemilik mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sementara 163 premis lagi diberi nasihat dan diberi amaran (16).

"Saya sekali lagi menasihatkan orang ramai dan pengusaha supaya mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan terutamanya ketika aktiviti jual beli," tambahnya.