PROJEK kereta api adalah kompleks dan dinamik dan melibatkan pelbagai proses maklum balas di kalangan individu dan organisasi yang terlibat secara aktif dalam projek kereta api, dan kepentingan mereka mungkin positif atau terjejas akibat perlaksanaan projek atau tempoh menyiapkan projek berkenaan.

Oleh itu, pengurusan risiko amat penting untuk mengenal pasti, mengukur, mengurangkan dan mengkaji semula keadaan yang berkemungkinan memberikan kesan buruk kepada sesebuah projek kereta api.

Pengurusan risiko yang tepat membayangkan kawalan terhadap segala kemungkinan pada masa hadapan dan menjadi ukuran keselamatan kepada kontraktor dan pemilik projek.

Sistem pengurusan risiko yang sistematik terbahagi kepada risiko klasifikasi, risiko analisis dan tindak balas risiko di mana tindak balas risiko terbahagi kepada empat tindakan termasuklah pengekalan, pengurangan, pemindahan dan penghindaran.

Kepelbagaian Risiko

Risiko pengambilan tanah dapat dikurangkan selepas segala keperluan tanah diperolehi dan diserahkan kepada kerajaan. Bagi memastikan tapak yang sesuai untuk digunakan bagi membangunkan projek kereta api, sistem Laporan Projek Harian (DPR) perlu disediakan dengan betul dan format bagi DPR haruslah mengandungi gambar tapak projek, penggunaan bahan harian, tenaga kerja harian dan jumlah pekerjaan yang dilakukan.

Manakala risiko bahan pula merupakan salah satu risiko utama bukan sahaja kepada projek kereta api tetapi juga projek pembinaan lain.

Kesedaran mengenai pembelian bahan-bahan, penyediaan sijil kualiti untuk bahan dan mempunyai pelbagai pilihan sumber untuk mendapatkan bahan yang diperlukan merupakan faktor yang mendorong kepada kejayaan mengurangkan risiko bahan.

Projek kereta api juga menghabiskan lebih banyak masa untuk menyediakan laporan reka bentuk dan tinjauan projek. Juru ukur dan pereka berpengalaman dengan latihan yang tepat dapat mengurangkan risiko reka bentuk sesuatu projek kereta api yang telah dirancang.

Di samping itu, projek kereta api terdedah dengan risiko pelanggaran kontrak yang dilakukan oleh firma perunding swasta. Ini mengakibatkan firma perunding lain mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan kerja selebihnya yang menyebabkan kelewatan projek disiapkan.

Untuk mengurangkan risiko sedemikian, pihak kerajaan seharusnya mempunyai kesedaran dan langkah proaktif sekiranya perlanggaran kontrak berlaku terutamanya dalam proses penilaian tender.

Manakala risiko kewangan juga amat penting dengan menganalisis aliran tunai projek yang melibatkan dua fasa pertama dan dua fasa terakhir pembinaan dengan jumlah perbelanjaan projek tersebut perlulah 8 peratus hingga 10 peratus jumlah keseluruhan perbelanjaan dan dalam tempoh yang selebihnya dan berbeza dengan peningkatan di peringkat permulaan, tertinggi di bahagian tengah dan menurun di bahagian akhir.

Risiko keselamatan di tempat kerja juga perlu dikurangkan dengan memakai peralatan keselamatan seperti topi keledar, lengan tangan, kasut, cermin mata dan sebagainya.

Projek kereta api juga berdepan dengan risiko kehilangan pekerja terlatih dan terpaksa menyewa pekerja yang baru dan harus melatih mereka terlebih dahulu yang menggunakan terlalu banyak masa dan boleh mengakibatkan kelewatan projek yang dilakukan.

Jangan dilupa risiko pembinaan yang seringkali berlaku pada fasa perlaksanaan projek. Kadangkala spesifikasi yang diberikan di dalam lakaran dan laporan reka bentuk adalah berbeza di tapak projek yang disebabkan oleh salah faham.

Bagi menyelesaikan risiko sedemikian, perbincangan harus dilakukan dan proses perlaksanaan perlu dilakukan dengan betul kerana melibatkan muatan yang besar.

Manakala peralatan moden harus digunakan untuk kerja pembinaan dengan lebih mudah dan berkualiti daripada kaedah tradisional.

Aspek risiko alam sekitar juga menjadi isu penting dalam perlaksanaan projek agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pemaju juga perlu memikirkan perlaksanaan sesuatu projek pada masa musim hujan dan fasa perlaksanaan pada musim tidak hujan.

Di samping itu, risiko politik dan kebudayaan adalah risiko yang melibatkan masalah sivil atau politik yang berkemungkinan timbul akibat projek dengan cara memboikot, sabotaj ataupun sebagainya.

Gangguan itu mungkin datang kerana wujud kebimbangan berbeza atau tidak puas hati terhadap kerja-kerja pembinaan, penyelenggaran atau operasi yang boleh menjejaskan keupayaan kontraktor atau pelaksana untuk meneruskan projek yang telah dirancang.

Oleh itu, projek perlu dirancang dan direka bentuk dengan perlindungan yang secukupnya untuk menghadapi risiko ini.

Hakikatnya, pengurusan risiko tidak boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan keselamatan sesebuah projek terutamanya projek kereta api!



*Ts. Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan teknologis profesional di dalam bidang pengangkutan dan logistik yang diperolehi dari Malaysian Board of Technologist (MBOT) serta Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.