Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta semua pihak berhenti menghangatkan perselisihan di antara dirinya dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz.

“Biarlah kita tamatkan isu berkenaan saya dan Datuk Nazri kerana ianya tidak ke mana, dan secara jujur, saya pun sudah bosan dengan hal ini,” ujarnya menerusi satu muat naik di Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail turut berseloroh dengan mencadangkan para media yang masih menjaja cerita ini supaya menganjurkan satu perlawanan tinju di antara mereka berdua.

“Kalau anda mahu ianya lebih menarik, boleh diadakan satu perlawanan tinju antara saya dan Datuk Nazri, dan hasil kutipannya boleh disalurkan untuk tujuan amal... SAYA HANYA BERGURAU,” tambahnya.

Muat naik itu turut mengandungi saranan Tunku Ismail kepada para media agar berhenti memainkan isu berkenaan bersangkutan menghormati bulan Ramadan.

Menurutnya apa yang ingin disampaikan telahpun diperkatakan.

“Saya menyeru kepada semua pihak media, cukuplah memainkan isu berkenaan saya, Datuk Nazri dan kerajaan. Saya tahu anda terhibur dengan apa yang berlaku,” katanya.

Walaubagaimanapun, Tunku Ismail menyatakan beliau akan terus bersuara dari semasa ke semasa demi rakyat dan kepentingan negeri Johor.

“Hormatilah bulan yang suci ini, dan biarkan saya dan keluarga saya menikmatinya dengan aman. Sekiranya terdapat apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya akan memaklumkannya kelak,” jelasnya.

Tunku Ismail dan Nazri terlibat dalam satu perbalahan apabila Tengku Mahkota Johor bertindak mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana gagal menghadiri forum Nothing2Hide pada Jun lalu.

Semasa mempertahankan perdana menteri, Nazri dilapor menggunakan bahasa kurang sopan selain menyuruh Tunku Ismail tidak mencampuri urusan politik.