Operasi mencari sebuah kapal tangki membawa petrol yang dilaporkan hilang di kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Khamis diteruskan pagi ini meliputi kawasan pencarian seluas 20,000 kilometer persegi.

Pengarah Operasi Wilayah Maritim Selatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Ibrahim Mohamad berkata kawasan pencarian melibatkan Tanjung Penawar hingga ke Mersing seterusnya melangkaui sempadan perairan Malaysia dan negara jiran.

"Kapal MT ORKIM HARMONY sejenis kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa muatan petrol RON95 anggaran 6,000 tan metrik dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

"Laporan kehilangan kapal telah dibuat oleh syarikat kapal tersebut Orkim Ship Management Sdn Bhd pada pukul 6.30 pagi 12 Jun lepas," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya terdapat 22 kru berumur antara 20 hingga 64 tahun dalam kapal itu terdiri daripada 16 warganegara Malaysia, lima warganegara Indonesia dan seorang warganegara Myanmar.

Ibrahim berkata pihaknya turut memanjangkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa Singapura iaitu Singapore Police Coast Guard (SPCG) dan juga pihak berkuasa Indonesia Badan SAR Nasional (BASARNAS) serta Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLARI).

Selain itu, maklumat kehilangan kapal berkenaan turut dimaklumkan melalui Nevtext kepada kapal-kapal lain dalam pelayaran bagi membantu mengesan kapal tersebut, katanya.

"Sehingga kini belum ada sebarang maklumat penemuan MT ORKIM HARMONY. Usaha mencari dan menyelamat kapal tersebut masih diteruskan dan pemantauan juga dilaksana oleh aset-aset APMM di perairan Sabah dan Sarawak," katanya.

Sebaik menerima laporan kehilangan tersebut, APMM Wilayah Maritim Selatan telah melancarkan operasi pencarian melibatkan sebuah helikopter, tigakapal dan bot selain turut mendapat bantuan dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia.

Di Kuala Lumpur, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata TLDM menghantar tiga buah kapal bagi membantu APMM dalam usaha mencari kapal tangki itu.

Beliau berkata tiga kapal itu ialah KD Terengganu, KD Pendekar dan KD Ganyang.

"Kira-kira 150 anggota TLDM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Setakat ini kami belum menerima apa-apa maklumat daripada kru.

"Kami sedang membantu APMM dalam operasi ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.