Tatkala tahun 2019 hampir melabuhkan tirai, amat mengujakan untuk mengetahui sejauh mana kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun ini, dengan mengambil kira apa yang boleh disifatkan sebagai kempen agresif oleh kerajaan untuk negara ini bebas rasuah.

Transparency International, sebuah organisasi pencegahan rasuah, dijadual mengeluarkan CPI 2019 bulan depan. Tinjauan tahunan yang memberi tumpuan pada persepsi rasuah di 180 negara itu telah menaikkan kedudukan Malaysia sebanyak satu mata ke tangga ke-61 pada 2018.

"Saya yakin Malaysia akan mampu naik tiga mata tangga dalam CPI," kata Pakar Kriminologi Datuk Seri Akhbar Satar.

Apa yang membuatkan beliau fikir begitu?

Buktinya, sudah pasti, ada di luar sana.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), dalam menunaikan janji pilihan rayanya, telah giat mengambil pelbagai langkah untuk menghapuskan rasuah dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, telus dan dipercayai.

Ia telah mewujudkan dasar-dasar dan badan-badan untuk mencapai objektifnya, memastikan semua aspek diberi perhatian dalam melaksanakan agenda untuk memastikan negara bebas rasuah.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan memerangi rasuah.

Ia juga bertanggungjawab merancang, merumuskan strategik dan menilai dasar-dasar dalam memastikan semua pentadbiran kerajaan mematuhi prinsip tadbir urus baik, integriti dan sifar-toleransi terhadap rasuah.

Tokoh yang menerajui pusat itu tidak lain dan tidak bukan ialah Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PH juga mahu Ahli Parlimen (MP) pakatan itu bersih, dan sehubungan itu, telah meminta mereka mengisytiharkan aset mereka selaras dengan usul di Parlimen yang mewajibkan semua MP mengisytiharkan aset mereka.

Maklumat berhubung perkara itu boleh didapati dalam talian untuk diakses orang ramai di mydeclaration.sprm.gov.my.

Kerajaan juga melaksanakan dasar tiada hadiah, bermakna menteri Kabinet tidak dibenarkan menerima hadiah bernilai lebih RM500 kecuali bunga, makanan dan buah-buahan.

Beberapa agensi penting yang asalnya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri kini melapor kepada Parlimen. Entiti berkenaan termasuk SPRM; Suruhanjaya Pilihan Raya; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

Untuk membantu tugasnya dalam memerangi rasuah, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah dan membentuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC).

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bertemakan 'Memecahkan Rantaian Rasuah', mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menangani rasuah.

GIACC, menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, menerajui pelaksanaan pelan itu yang dibangunkan untuk menetapkan matlamat munasabah berdasarkan inisiatif yang akan diambil kerajaan dan agensi swasta untuk menangani isu rasuah, integriti dan tadbir urus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Paling menonjol pastinya pelantikan Latheefa Koya, yang terkenal dengan pendekatan berani dan tegas, sebagai ketua pesuruhjaya baharu SPRM pada Jun tahun ini. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memendekkan kontraknya yang dijadual tamat pada 17 Mei, 2020.

Sejurus selepas pelantikannya, peguam Latheefa menyatakan: "Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, tetapi tugas saya adalah jelas - untuk membanteras rasuah."

Akhbar Satar berkata kes demi kes yang didedahkan merupakan petanda positif bahawa lebih banyak lagi boleh dicapai sekiranya kerajaan tegas dalam memerangi rasuah.

Usaha kerajaan memerangi rasuah sudah mula membuahkan hasil.

Delam tempoh setahun pemerintahannya, dari Mei 2018 sehingga April 2019, kira-kira 1,230 tangkapan telah dibuat berkaitan rasuah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok, dalam kenyataan dikeluarkan bersempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa pada 9 Dis, berkata dengan sejumlah besar kes rasuah, Malaysia sudah mula membersihkan namanya daripada skandal rasuah di mata dunia.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata rasuah yang tidak terkawal, kecuali ditangani, mampu memusnahkan ekonomi negara.

Beliau mencadangkan pendidikan pencegahan rasuah dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

"Kecuali ini dilakukan, kemerosotan nilai murni dan sosial akan menjadi perkara serius di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA