Tutup

Usaha mengembalikan kedudukan Sabah, Sarawak masih diteruskan - PM

Usaha mengembalikan kedudukan Sabah, Sarawak masih diteruskan - PM
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan usaha-usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Sebelum ini, kerajaan pernah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat pada April lalu bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu.

Namun, Rang Undang-Undang tersebut tidak mendapat sokongan majoriti dua-pertiga.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pihak kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA 63 – “Malaysia Agreement 1963”.

“Kesemua 23 ahli jawatankuasa ini yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah juga telah bermesyuarat beberapa kali untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini.
Justeru itu, Dr Mahathir memaklumkan, kerajaan telah bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Penyerahan ini adalah salah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet MA 63 dan ia memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pakatan Harapan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita harap rakyat dan pemimpin dari kedua-dua negeri ini dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini akan menjadi titik tolak untuk tekad berganding bahu mempertahankan Malaysia sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

 


Tag: Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan, Perjanjian Malaysia 1963, Rang Undang-undang, Dewan Rakyat, Hari Malaysia, Perdana Menteri, perpaduan, Malaysia Agreement 1963



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.