Tutup

Usaha tangani masalah pencemaran laut tanggungjawab bersama - Dr Mahathir

Usaha tangani masalah pencemaran laut tanggungjawab bersama - Dr Mahathir
DR MAHATHIR: Jika kita menamakan Selat Melaka sebagai selat antarabangsa, maka komuniti antarabangsa perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga laut supaya tidak tercemar. -Gambar fail
BEIJING: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam usaha kuasa besar berlumba-lumba menjalankan urusan perdagangan, isu alam sekitar termasuk pencemaran laut tidak wajar diabaikan.

Beliau berkata, isu pencemaran seperti tumpahan minyak dan pembuangan sampah sarap sememangnya menjadi perkara yang serius ketika ini.

Dalam hal ini, kata Dr Mahathir, tanggungjawab menjaga lautan bukan bergantung kepada negara yang terletak pesisiran pantai sahaja, sebaliknya ia menjadi tanggungjawab bersama.

“Tumpahan minyak dan pembuangan sampah sarap di lautan sedikit sebanyak mencemarkan pesisiran negara.
“Namun, laut merupakan perairan antarabangsa dan negara di pesisiran pantai ini tidak mampu mengumpul dana yang cukup untuk membiayai kerja pembersihan akibat pencemaran itu.

“Jika kita menamakan Selat Melaka sebagai selat antarabangsa, maka komuniti antarabangsa perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga laut supaya tidak tercemar,” katanya ketika berucap pada Forum Kedua Kerjasama Antarabangsa Jalur Dan Laluan (BRF) di Beijing, China hari ini.

Forum Kedua BRF bermula yang bermula semalam sehingga 28 April ini bertemakan “Belt and Road Cooperation: Shaping a Brighter Shared Future.”
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila pihak terbabit meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan laut di bahu negara-negara di pesisir pantai.

“Mereka merupakan komuniti yang menghadapi pencemaran dan mereka perlu ada sumber yang besar untuk membersihkan laut dan pantai mereka.

“Ini adalah sangat tidak adil kerana kebanyakan negara di pesisiran ini tidak mampu dan terpaksa menanggung beban yang besar ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir percaya Malaysia akan menerima manfaat daripada inisiatif Jalur dan Laluan China.