Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usahawan desa seluruh negara memiliki tiga DNA keusahawanan yang berjaya.

Jelasnya, ia termasuk memperhebat kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan yang berkualiti.

"Usahawan desa juga perlu memaksimumkan penggunaan teknologi dan digital dalam perniagaan. Pada masa sama, mereka disaran mempertingkat daya saing dan memperkukuh daya tahan dalam menghadapi lanskap ekonomi baharu," katanya semasa berucap melancarkan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambahnya, bagi tahun ini, 700 usahawan telah menyertai KUD dengan jangkaan nilai jualan melebihi RM3 juta dan nilai tempahan RM10.5 juta ringgit dengan jangkaan pengunjung mencecah 1.1 juta orang.

KUD ujarnya, menjadi platform untuk usahawan desa menghasilkan perkhidmatan yang terbaik dan menempatkan produk mereka di pasaran global melalui hubungan rangkaian dengan pemain industri hypermarket.

"Salah satu yang selalu saya sebut, kalau nak berjaya sebagai pengusaha, kita mesti jadi pengusaha the global supply change, kalau tidak boleh, kita akan jadi penjual kecil-kecilan atau penjual kerdil dan tidak boleh melebar sayap ke peringkat global," kata Najib.

Justeru, tegas Perdana Menteri, kerajaan akan sentiasa memberi penekanan kepada usahawan desa memandangkan industri kecil dan sederhana adalah sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Sebagai contoh, dalam tempoh RMKe-10, RM1.04 bilion bagi pelaksanaan program pembangunan keusahawanan untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)," ujarnya.

Malah kata Perdana Menteri, Skim Pinjaman Ekonomi Desa (SPED) berjaya membiaya dan membimbing ramai usahawan luar bandar seluruh negara melalui dua bank pelaksana iaitu SME Bank dan Bank Rakyat.

"Sejak dilaksanakan pada 2001 hingga kini, 3,796 orang telah menerima manfaat dari seluruh negara dengan jumlah RM382.4 juta," tambahnya.