Polis memberkas seorang ketua tenaga pengajar sebuah madrasah di Bemban, di sini selepas didakwa mencabul dan cuba meliwat beberapa pelajar lelakinya sejak setahun lalu.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan ustaz berusia 28 tahun di sebuah asrama madrasah persendirian yang mempunyai 31 pelajar tahfiz lelaki berumur antara 7 hingga 17 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, perbuatan keji itu terbongkar selepas salah seorang ibu pelajar berusia 14 tahun membuat laporan polis pada Khamis lalu.

Menurut Mohd Nor Yhazid, ustaz berkenaan merupakan ketua tenaga pengajar berkenaan dan ditugaskan seacara bergilir-gilir dengan guru lain untuk menjaga asrama penginapan pelajar sebanyak dua kali seminggu.

Berdasarkan keterangan, mangsa mendakwa, lelaki berkenaan cuba melakukan seks luar tabii terhadap pada 23 September lalu.

Bagaimanapun, remaja berkenaan sempat melarikan diri.

Difahamkan, itu bukan detik ngeri pertama yang dihadapi mangsa.

Ustaz berkenaan didakwa menggunakan modus operandi dengan memanggil mangsa kononnya meminta untuk mengurut kaki, tangan serta kepala.

Suspek juga menggunakan taktik dengan cara menolak badan mangsa untuk baring di sebelahnya apabila mangsa memberi alasan kepenatan sebelum suspek terus memeluk badan mangsa.

Tambah Mohd Nor Yhazid, mangsa turut memaklumkan beberapa rakannya juga menjadi mangsa ustaz berkenaan yang akan mengurut sehingga ke bahagian kemaluan mangsa.

"Suspek juga pernah cuba membuka seluar mangsa dan cuba meliwatnya, namun, berjaya ditepis sebelum mangsa melarikan diri," katanya.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.