Pendakwah bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim dibenarkan pulang ke rumah petang semalam, selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini, pada Selasa.

Menurut abang beliau, Datuk Mohd Najmuddin Elias, adiknya dibenarkan keluar untuk berehat di rumah setelah pihak hospital berpuas hati tahap kesihatannya yang semakin memuaskan.

Bagaimanapun, katanya, mereka agak hairan kerana punca penyakit masih belum ditemui walaupun beberapa kali melakukan proses ultrasound dan MRI.

“Apapun, kami tidak boleh membuat berbagai andaian pada waktu ini, termasuk (sekiranya terdapat) unsur mistik.

"Adalah lebih baik memberi ruang untuk beliau berehat di samping tunggu dan lihat perkembangannya dalam waktu terdekat ini,” kata Mohd Najmuddin dalam laman Facebook miliknya.

BACA: Ustaz Kazim dimasukkan semula ke hospital

Mohd Najmuddin berkata, berdasarkan gambar yang disertakannya, keadaan Ustaz Kazim agak lemah dan berat badannya berkurangan.

“Apapun, kami bergembira dan bersyukur beliau akan dibenarkan pulang ke rumah.

"Justeru, saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang tak putus-putus berdoa," katanya.

BACA: Ustaz Kazim dirujuk ke hospital susulan tidak boleh tidur sejak dua bulan lalu

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang merawat adiknya dengan baik dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak.

Beliau mengulangi tujuannya menyampaikan perkembangan kesihatan Ustaz Kazim bukan untuk mencari simpati atau mengejar publisiti.

Sebaliknya, kata Mohd Najmuddin, ia adalah atas desakan orang ramai, terutama peminat dan pengikut pendakwah bebas itu yang ingin mengetahui perkembangannya.

“Andalah penyokong dan pemberi semangat kepada beliau.... terima kasih,” tambahnya.