Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias melahirkan rasa terkilannya berhubung kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menuduhnya terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Ustaz Kazim berkata, beliau turut kecewa kerana kenyataan Mufti Perlis itu yang menjadi viral dalam laman sosial telah menyebabkan segala hak nilainya berceramah selama 24 tahun seolah-olah tidak ada nilai dan kebaikan langsung.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis sebenarnya tidak menjejaskan akidah dan tidak sepatutnya dijadikan isu berbanding kenyataan-kenyataan yang lebih keras yang dibuat oleh musuh islam tentang Nabi Muhammad SAW.

Mohd Kazim berkata demikian kepada pemberita di Pusat Pendidikan Islam Al Barakah, Manjoi, Ipoh pada Khamis.

Beliau membuat kenyataan ini sebagai menjawab isu menyebaran surat Mufti Perlis itu yang tidak bersetuju beliau dijemput sebagai ahli panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis pada 30 Mac yang disebarkan pihak tertentu di luar pengetahuan Asri.

Dalam surat yang dihantar kepada Pegawai Kanan di Pejabat Menteri Besar Perlis, Asri memaklumkan ketidaksetujuannya atas alasan Ustaz Kazim terlibat dengan pembacaan riwayat palsu mengenai Rasulullah SAW.

Menurut Ustaz Kazim, pihak berkenaan sepatutnya menghubungi beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan berhubung apa yang dianggap sebagai riwayat palsu.

Mengenai cerita roti jala yang dikaitkan, katanya, apa yang beliau perkatakan dalam buku yang ditulisnya ``Tuhan Sedang Menguji Kita’’ hanya secara kiasan.

Katanya, Rasulullah SAW, buat kenduri kahwin dengan menghidangkan roti dengan kuah kambing yang dikiaskannya sebagai roti jala dan kari.

Ustaz Kazim berkata, salah faham timbul apabila ada pihak mengambil sebahagian sahaja petikan ayat daripada buku itu.

Sementara itu wakil NGO Islam Negeri Perak, Dato’ Halim Ramli berkata, NGO Islam Negeri Perak melihat isu yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis itu sebagai agak mendukacitakan dan boleh diselesaikan secara bermusyawarah.