Usul pembangkang supaya peraturan mewajibkan permit polis bagi kempen pilihan raya dari rumah ke rumah dibatalkan ditolak.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming menjelaskan, usul berkenaan tidak menepati syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1).

"Polis dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya tidak keluarkan arahan itu, itu adalah fakta. SPR sudah buat penjelasan, jadi tidak timbul soal isu ini," katanya.

Usul itu ditimbulkan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bermula.

Tegas Kor Ming, fakta yang dikemukakan Noh juga disifatkan tidak tepat.


Noh kemudian meminta Kor Ming memberi jaminan dalam Dewan Rakyat bahawa peraturan mewajibkan permit polis bagi kempen pilihan raya dari rumah ke rumah itu tidak akan dikuatkuasakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sedang berlangsung.

Terdahulu, Noh menjelaskan, arahan berkenaan bercanggah dengan Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selain Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Noh memberitahu sudah menerima penolakan usul itu daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Bagaimanapun, penjelasan kedua-dua pihak itu menimbulkan kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bangun untuk mengemukakan Peraturan Mesyuarat.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini menegaskan, parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.

Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berbaki kurang dua hari lagi.

SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun Kor Ming mahu Noh tidak membazirkan masa Dewan Rakyat dengan hujah kuasa Speaker untuk menolak usul itu adalah muktamad di bawah Perkara 43.