Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Usul pengosongan jawatan Speaker, pembangkang dakwa tidak diberi masa cukup

Usul pengosongan jawatan Speaker, pembangkang dakwa tidak diberi masa cukup
Dr Mahathir bersama lima lagi Ahli Parlimen juga menyatakan, apabila Nga Kor Ming meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembangkang pada Selasa mendakwa tidak diberikan masa yang mencukupi bagi membahas usul untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada Isnin.

Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima lagi Ahli Parlimen dalam satu kenyataan mendakwa pembangkang juga dinafikan hak mengemukakan calon Yang Dipertua setelah notis 14 hari tidak diberikan apabila berlaku kekosongan jawatan itu.
"Begitu juga dinafikan dengan kedudukan Yang Berhormat Nga Kor Ming selaku Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Apabila beliau meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama dengan Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Usul untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua diluluskan Dewan Rakyat pada Isnin melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat itu juga, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan turut melahirkan rasa kesal dengan perbahasan usul itu, yang menyaksikan hanya empat Ahli Parlimen dibenarkan berbahas dalam masa 10 minit seorang.

"Bagi suatu usul yang bersejarah seperti ini, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha DAP Anthony Loke Siew Fook.

-- BERNAMA