Usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355 akan menjalani sedikit pindaan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata usul RUU itu yang dijangka dibentang esok mengandungi pindaan terhadap had hukuman yang boleh dikenakan di bawah akta itu kelak.

"Akan ada pindaan menentukan had berapa hukuman dan sebagainya. Tapi esok baru tahu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Anggota Parlimen Kuala Nerus berkata pindaan tersebut dibuat hasil daripada perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bangunan Parlimen semalam.

Katanya usul pindaan itu akan dibentang oleh Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2016, beberapa anggota Parlimen pembangkang cuba membangkitkan beberapa isu mengenai usul yang dibawa Abdul Hadi itu.

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyatakan bahawa perkara tersebut akan dibincangkan esok.

Usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 itu dibentangkan Abdul Hadi pada 26 Mei lepas dan sepatutnya dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Pada mesyuarat hari ini, usul tersebut berada di nombor 15 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat dan dilaporkan akan dibentangkan esok, yang merupakan hari terakhir persidangan tahun ini.

RUU itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati. -- Bernama