Cadangan mengambil warga Rohingya yang berada di Malaysia bekerja berikutan pembekuan pengambilan pekerja dari luar dilihat satu usaha murni dalam membantu golongan pelarian itu yang dilanda krisis di tanah asal mereka.

Namun Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berpendapat, keutamaan seharusnya diberikan kepada warga tempatan dalam mengisi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

Katanya, kerajaan harus mengambil kira segenap aspek sekiranya mahu menimbangkan cadangan tersebut supaya tidak wujud diskriminasi kepada warga tempatan yang akhirnya akan mewujudkan suasana tidak senang.

“Kita tak mahu sebarang tuduhan kepada kerajaan kenapa tidak jaga kepentingan pekerja tempatan dan apabila kerajaan membuat keputusan tidak mahu mengambil sebarang pekerja asing, mereka perlu buat dengan teliti supaya tidak dilihat tidak konsisten.

“Apa-apa bentuk penghuluran bantuan kemanusiaan memang MTUC sokong tetapi berkenaan pengambilan pekerja ini kita perlu lihat secara keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pelbagai etnik

Setakat Oktober tahun lepas, direkodkan seramai 54,856 warga Rohingya di Malaysia berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Selain etnik Rohingya, terdapat juga pelarian Myanmar daripada etnik Chin (41,420), Muslim Myanmar (10,928), Rakhine/Arakan serta lain-lain etnik (5,221).

Kata Solomon, pengambilan pekerja warga Rohingya atau mana-mana warga asing juga akan mewujudkan senario lambakan yang akan memberi kesan kepada kadar gaji yang wajar diberikan kepada pekerja tempatan.

Keengganan tenaga tempatan mengisi kekosongan atau permintaan dalam mana-mana sektor pekerjaan harus dipandang serius kerana dikhuatiri suasana itu akan menyumbang kepada berlakunya masalah sosial ekoran peningkatan pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kalaupun benar ada kekosongan atau keperluan tenaga kerja, kenapa tidak dipenuhi oleh pekerja tempatan?

“Kalau pekerja tempatan tak diberi gaji yang sesuai, memang semua majikan akan nyatakan atau sanggup nyatakan ada tempat kosong yang perlu diisi dengan membawa masuk pekerja asing.

Gambaran sebenar

Oleh itu, Solomon berharap agar pihaknya serta rakan sosial lain seperti Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bersama Kementerian Sumber Manusia dapat dipanggil untuk berbincang bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

Daripada perbincangan itu katanya, mereka dapat memberikan pandangan dan cadangan bagi menyelesaikan isu itu.

Baru-baru ini, kabinet sebulat suara untuk menangguhkan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan ke tahun depan, hanya beberapa hari selepas dasar di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC) itu dikuatkuasa pada 1 Januari.

Kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengumumkan perkara itu pada Rabu, penangguhan itu hasil maklum balas daripada majikan dan supaya ekosistem yang sewajarnya dapat diteliti bagi mempermudah dan melicinkan industri menggaji pekerja asing, pada masa sama memastikan ekonomi negara terus menumbuh.

Pada November, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan di Dewan Rakyat turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang dalam usaha untuk melaksanakan projek perintis untuk memberi kebenaran bekerja kepada 300 orang warga Rohingya berdaftar di negara ini.

Kata Nur Jazlan, mereka yang berkelayakan serta memenuhi syarat ditetapkan kerajaan akan dibenar bekerja di sektor perladangan dan perkilangan.