Gabungan ahli pasukan Tarik Tali Paragas yang terdiri daripada peserta dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat dan wakil dari Borneo membuahkan hasil apabila mereka menjuarai pertandingan Tarik Tali sempena penganjuran Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai yang berlangsung semalam.

Pasukan Paragas telah membawa pulang wang tunai RM1,300 bersama pingat dan juga sijil penyertaan.

Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed itu telah menarik penyertaan 12 pasukan tarik tali dari seluruh negeri Johor.

Fiesta Sukan Rakyat yang berlangsung di Stadium Hospital Permai Kempas, Johor Bharu ini merupakan program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Pulai bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Sinar Harian dan juga Kelab Sahabat Generasi Dinamik Malaysia.

Untuk rekod, Pasukan Paragas telah menjadikan UTHM sebagai pusat latihan mereka sejak 2014 lagi.

Menurut ketua pasukan Maslan Ahmad, ahli pasukan yang terdiri daripada staff sokongan UTHM, Polis berpangkat koperal, pembantu awam JPS sama sekali tidak menjangka gabungan pasukan itu mampu menjuarai pertandingan tersebut.

"Pasukan kami sudah menjalankan latihan intensif sejak seminggu yang lalu di UTHM, penyertaan ke pertandingan ini adalah sebagai persiapan awal bagi menyertai Pertandingan Tarik Tali Terbuka Sri Menanti yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Januari depan.

"Jadi di UTHM kami membentuk satu pasukan dan menjalankan latihan fizikal dan mental pada setiap petang walaupun kami semua datang daripada pelbagai latar belakang bidang kerjaya," katanya.

Tambah beliau lagi, selain daripada membina kecergasan tubuh badan ahli pasukan dapat membina ukhwah dan perpaduan di antara mereka.

Usaha pelbagai pihak untuk mewujudkan semangat perpaduan melalui sukan rakyat seumpama ini wajar diberi perhatian dan sokongan dalam usaha menyemarakkan suasana masyarakat yang lebih harmoni.

___________________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Mohd Zulfadli Rozali dan Norman Khalis Ahmad Fara dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disunting oleh Suriayati Baharom.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).