Bagi membantu meringankan bebanan keluarga Prof Madya Md Zahir Mat Cha, Timbalan Pengarah di Pusat Asasi Pengurusan UUM yang kini berada di Hospital St. Vincent’s, Sydney, Australia akibat penyakit angin ahmar, pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju untuk memberi sumbangan menerusi potongan elaun sebanyak RM100 bagi setiap staf dalam pengurusan tertinggi UUM disamping pendahuluan berjumlah RM 75 ribu dari insuran kelompok dan pendahuluan 6 bulan gaji.

Prof Madya Md Zahir ditimpa penyakit ini pada 31 Julai 2017 ketika dalam tempoh bercuti rehat ke luar negara bagi mengikuti lawatan kerja KISMEC (Kedah Industrial Skills And Management Development Centre) pada 28 Julai 2017 hingga 6 Ogos 2017 di mana beliau adalah merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya.

Dimaklumkan, beliau tidak mencarum insuran perjalanan luar negara seperti yang telah disyaratkan kepada semua staf mengikut ketetapan dalam pekeliling berkaitan yang sedang berkuatkuasa.

Peraturan Perkhidmatan yang sedang berkuatkuasa juga menyatakan bahawa Kerajaan dan Agensi terlibat tidak akan bertanggungjawab membiayai apa jua bayaran dan tanggungan termasuk perubatan sekiranya ke luar negara atas urusan persendirian atau bercuti rehat.

Bagaimanapun, UUM telah mengambil semua langkah-langkah perlu bagi membantu meringankan masalah kewangan dan memudahkan urusan beliau dan isterinya di Australia. Namun, kemampuan UUM amat terbatas memandangkan kos rawatannya amat tinggi.

Pihak Universiti juga telah memohon kerjasama dan bantuan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Luar Negeri untuk membantu termasuk mempermudahkan urusan untuk membawa pulang beliau bersama isteri ke Malaysia.

Sehubungan itu, selain bersetuju membuat potongan elaun staf, pihak Universiti turut mengalu-alukan sumbangan derma daripada semua staf yang boleh disalur melalui Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing untuk disumbangkan kepada isteri beliau bagi meringankan beban yang ditanggung.

Kutipan sumbangan itu sedang dijalankan sehingga 8 Ogos 2017.