Tutup

UUM julung kali tersenarai dalam ranking dunia Times Higher Education

UUM julung kali tersenarai dalam ranking dunia Times Higher Education
UUM adalah antara tujuh universiti dalam negara yang menerima penarafan antarabangsa itu yang diumumkan pada Khamis.
ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kali tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2016-2017.

UUM adalah antara tujuh universiti dalam negara yang menerima penarafan antarabangsa itu yang diumumkan pada Khamis menerusi laman rasmi THE.

UUM berada pada kedudukan 801+ daripada 980 universiti dari 79 negara.

"Lebih membanggakan pencapaian itu apabila UUM adalah sebuah universiti pengurusan yang tidak mempunyai bidang sains dan teknologi khususnya berteraskan kejuruteraan dan perubatan.
"Ia jelas menunjukkan kekuatan dan potensi UUM untuk terus bersaing secara kompetitif di pentas terbuka dalam ranking universiti dunia. UUM akan terus memperbaiki kedudukan 2016-2017 supaya terus mendapat peningkatan," menurut UUM dalam satu kenyataan.

Antara universiti awam tampatan lain yang mengekalkan kedudukan dalam senarai tersebut ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) selain Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang turut pertama kali disenaraikan.