Kerosakan teruk yang berlaku pada bilik di sebuah hotel ternama di Bandar Raya Kuching yang dijadikan sebagai pusat kuarantin COVID-19 menarik perhatian ramai sejak Jumaat.

Melalui gambar yang tular di media sosial itu, ramai yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu perbuatan terkutuk dan tidak bertanggungjawab.

Mengulas mengenai perkara terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung insiden itu.

“Saya baharu sahaja melihatnya di media sosial dan masih menunggu laporan siasatan penuh (daripada JPBN Sarawak) dan saya harap ia adalah kes terpencil kerana di Kuching sahaja kita telah mengkuarantinkan hampir 3,000 orang dengan menggunakan 2,000 buah bilik hotel,” katanya dalam satu sidang media.



Pihak pengurusan hotel meninjau bilik berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak atasan. -Gambar Ihsan hotel

Ujar beliau, ini merupakan kes pertama yang berlaku berhubung pusat kuarantin di negeri itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Melihat kepada gambar dikongsi pihak pengurusan hotel itu, bilik berkenaan jelas terjejas dan mengalami kerosakan teruk akibat perbuatan vandalisme berkenaan.

Menurut laporan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail suspek kini telah ditahan dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS), kerana disyaki mengalami masalah mental.

Selain merosakkan bilik, suspek lelaki berusia 23 tahun tersebut turut mencetuskan kekacauan apabila bertindak membakar botol cecair pembasmi kuman di lobi hotel berkenaan.

Namun, tindakan pantas kakitangan hotel berjaya memadam kebakaran kecil yang disengajakan itu.

Antara kekotoran yang disebabkan suspek. -Gambar Ihsan hotel