Penggunaan vape atau rokok elektronik bukan jalan penyelesaian bagi mengatasi ketagihan merokok.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kajian perlu dilakukan untuk membuktikan penggunaan vape dan rokok elektrik adalah kaedah terbaik dalam menangani ketagihan rokok.

Jelasnya, setakat ini masih belum ada bukti saintifik yang menyokong kaedah vape dan rokok elektronik dapat membantu individu berhenti merokok.

"Buat masa ini, tidak ada bukti yang menunjukkan penggunaan vape atau rokok elektronik adalah kaedah terbaik untuk menghilangkan ketagihan.

"Orang yang beralih kepada vaping bukan menghilangkan ketagihan tetapi menimbulkan ketagihan lain," kata Dr Lokman selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman Perkhidmatan Berhenti Merokok 'M Quit Services' melalui kerjasama perkhidmatan awam dan swasta di Putrajaya, pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Lokman mengulas keperluan pengawalseliaan ke atas industri vape dan persoalan utama dalam hal ini ialah bagaimana pelaksanaan pengawalseliaan itu boleh dilakukan, memandangkan tiada sebarang undang-undang wujud bagi penggunaan vape.

"Pengawalseliaan ke atas industri vape adalah keputusan Kabinet. Persoalannya adalah bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana tiada undang-undang khusus ke atas vape.

"Ini adalah proses yang kami sedang lihat dan keputusan pengawalseliaan itu memang jelas," kata Dr Lokman.

Sementara itu, pada majlis itu, menyaksikan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Akademi Farmasi Malaysia dan Syarikat Johnson & Johnson dalam program rawatan berhenti merokok di fasiliti awam dan swasta.

Menurut Dr Lokman, program itu menawarkan perkhidmatan berhenti merokok bagi mereka yang ingin keluar daripada masalah ketagihan dan tabiat merokok, dalam pada masa sama menyediakan latihan serta pemantauan.

Program yang diwujudkan sejak tahun 2004 itu berjaya membantu sekurang-kurangnya 21 peratus daripada 100 orang yang berhenti merokok sepenuhnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min yang menjelaskan antara kaedah utama yang digunakan dalam program itu adalah penggunaan ubat dan perkhidmatan kaunseling termasuk khidmat nasihat dan sokongan menerusi telefon selama satu tahun yang dilakukan dari semasa ke semasa oleh pakar.