Veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, 90, meninggal dunia di Hospital Gleneages di sini pada 12.50 tengah hari ini kerana sakit tua, demikian menurut cucunya Ahmad Arif Astaman.

Sementara itu, Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan salam takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara Tan Sri Aishah Ghani menerusi laman web rasmi Umno, umno-online.my.

Allahyarham merupakan Veteran UMNO dan bekas Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Jenazah allahyarham dijangka akan dikebumikan pada jam 6 petang ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Allahyarham pernah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya ke perhimpunan yang disertai semua pertubuhan di Kelab Sultan Sulaiman bagi membincangkan gerakan kemerdekaan.

Walaubagaimanapun, beliau meletak jawatan pada tahun 1946, kerana berkahwin dan dalam tempoh yang sama beliau mula bekerja sebagai juruhebah wanita yang pertama di Radio Malaya Kuala Lumpur yang ketika itu baharu sahaja dibuka.

Karier politik Aishah kembali aktif bermula di cawangan Umno Pasar Pudu apabila beliau mula menyertai Umno Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1949.

Pada tahun 1950, Aishah terpilih menjadi wakil tetap Kaum Ibu Umno di persidangan Agung Umno Malaya, Pulau Pinang.

Pada 1960, beliau dipilih menjadi Naib Pergerakan Kaum Ibu Umno Malaya dan pada tahun 1962 Aishah menjadi Senator wanita pertama negara ini apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Selepas 12 tahun dipilih memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno, pada tahun 1972, dalam mesyuarat perwakilan Wanita UMNO, beliau dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Beliau bertahan dalam kabinet, selama 11 tahun sebelum menamatkan kariernya sebagai menteri pada tahun 1984.

Semasa beliau menjadi Menteri Kebajikan Am, beliau banyak memperjuangkan hak-hak kaum wanita, antaranya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan politik.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh kaum wanita dibawah pimpinannya. Sebelum menjadi Ketua Wanita lagi beliau telah menerajui Yayasan Dermawani yang bertujuan membolehkan pergerakan menyertai kegiatan ekonomi.