Veteran Umno, Tan Sri Napsiah Omar meninggal dunia hari ini akibat sakit barah hati pada usia 74 tahun.

Semasa mengesahkan perkara itu, saudara terdekat beliau Datuk Yahya Hamid berkata allahyarham meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya dekat Kuala Lumpur sekitar pukul 6.10 petang tadi.

Menurut beliau, Allayarhamah itu telah mula uzur sejak beberapa minggu lepas.

“Sebelum ini, Tan Sri sedang menjalani rawatan untuk penyakit barah hati.

“InsyaAllah, pengebumian akan disempurnakan dan dikebumikan di Kuala Pilah pada waktu pagi sebelum solat zohor,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Surau Tunku Mukhriz, Kampung Jawa, Kuala Pilah dan dijangka akan tiba tengah malam nanti.

BACA: PM Najib ucap takziah

Saya kehilangan seorang kakak - Shahrizat

Sementara itu Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menerusi kenyataan Facebook beliau petang tadi melahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkan sebagai satu kehilangan yang amat besar bagi sayap pergerakan Wanita Umno.

"Allahyarhamah Tan Sri Napsiah merupakan seorang srikandi tulen yang tiada tolok bandingnya. Perjuangan beliau berdekad lamanya dirasai oleh semua wanita dan negara. Legasi perpaduan yang beliau wariskan menjadi ikatan kekuatan kepada kami 1.4 juta ahli Wanita Umno.

"Secara peribadi, saya kehilangan seorang kakak yang amat saya hormati dan sayangi, tempat saya merujuk dan mencari nasihat untuk meneruskan langkah perjuangan," kata Shahrizat.

Allayarhamah mula menjadi ahli parlimen Kuala Pilah pada tahun 1982 dan dinamakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada tahun 1987, beliau dilantik sebagai Menteri Perusahaan Awam. Pada tahun 1990, beliau dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita Umno. Kemudian pada tahun itu, beliau menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial.

Pada tahun 1995, beliau dicalon untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Negeri Sembilan dan dilantik sebagai exco kanan kerajaan negeri.