Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan tidak dimaklumkan berhubung keputusan Peguam Negara berhubung klip-klip video intim melibatkan seorang menteri Kabinet.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya sedang menunggu perkembangan terkini daripada Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan itu.

"Saya tidak tahu, keputusan muktamad dibuat oleh pihak Peguam Negara, bila sudah rasmi saya akan umumkan," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan tiada pendakwaan akan dibuat pada mana-mana individu berhubung klip video yang tular, tahun lalu.

BACA: Video intim: Tiada individu akan didakwa - Peguam Negara

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Tommy mengesahkan keputusan siasatan mendapati bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah yang dibuat di dalam dan luar negara.

"Dapatan Cyber-Security antara lain 'kegagalan untuk mengenal pasti individu-individu di dalam video tular tersebut disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan saspek dilihat dengan jelas." katanya.

Namun, Tommy turut mengesahkan siasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baharu diperoleh.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed pada 6 Januari lalu menjelaskan kertas siasatan serta laporan akhir itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara, pada akhir tahun lalu.