Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menegaskan beliau tidak terlibat secara langsung dalam siasatan kes berhubung video seks mirip seorang menteri Kabinet yang disebar di laman sosial, baru-baru ini.

Menurut Gobind, sebarang hasil siasatan dan permintaan daripada pihak berkuasa dalam menyelesaikan skandal seks itu perlu dirujuk kepada pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Saya tidak terlibat dalam siasatan (video seks), jadi saya tidak boleh menjawab. Isu ini (disiasat) pihak berkaitan antara polis dan agensi-agensi lain.

“Apa yang saya boleh maklumkan adalah seperti yang saya katakan sebelum ini iaitu kes masih dalam siasatan. Jika terdapat sebarang permohonan oleh polis (bagi membantu siasatan), SKMM akan memberikan kerjasama,” kata Ahli Parlimen Puchong itu kepada pemberita ketika menghadiri Program Malaysia Tech Week (MTW19) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada SKMM tidak mengetuai siasatan tersebut, Gobind sekali lagi mengulangi pendirian bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pegawai berkaitan untuk memberikan kenyataan terkini berhubung perkara itu.

Namun, beliau menyatakan kerjasama penuh akan diberikan sekiranya bantuan diperlukan.

“Menteri tidak terlibat dengan sebarang siasatan. Tugas saya sebagai Menteri (Komunikasi dan Multimedia) adalah untuk memantau SKMM.

"Kami (menteri) tidak melihat secara khusus terhadap siasatan dan tidak melibatkan diri kami dalam proses siasatan. Jadi, biarkan polis siasat kes itu secara profesional,” ujarnya.

Terdahulu, Gobind berkata beliau akan menyemak sama ada SKMM sudah menerima sebarang permintaan daripada pihak polis dan bentuk kerjasama yang boleh diberikan dalam melancarkan proses siasatan.

Dalam perkembangan terkini, peguam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, N Surendran mengesahkan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah memberikan keterangan kepada pihak polis, pada Isnin berhubung dakwaan kaitan beliau dalam video kontroversi itu.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam video lucah yang tersebar dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan kejam.

Ia susulan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin, mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.