Satu rakaman video tular sejak malam Ahad memaparkan dua lelaki menyerang seorang guru dipercayai akibat salah faham dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunung, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku jam 10.30 pagi Sabtu, memaparkan guru lelaki berkenaan yang berusia 52 tahun, dimarahi salah seorang lelaki yang mendakwa guru berkenaan mengeluarkan perkataan tidak enak kepada isterinya.

Video berdurasi tiga minit 31 saat itu turut memperlihatkan lelaki itu bertindak memarahi guru itu di kawasan perkarangan sekolah dan cuba mengheret mangsa ke luar kawasan sekolah kononnya untuk menyelesaikan masalah.

Dalam video itu, guru berkenaan dilihat dipegang lelaki berbaju-T hitam sehingga terbuka butang baju dan cuba mengawal keadaan, namun lelaki yang menyerangnya terus mengeluarkan kata-kata kesat.

Sumber Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok memberitahu, guru itu bagaimanapun enggan ke luar pagar sekolah dan menjelaskan salah faham lelaki berkenaan terhadap tuduhannya.



"Berlaku perbalahan mulut antara PKP dan lelaki itu berpunca dari salah faham apabila isterinya memaklumkan dia 'diserang' guru itu, sedangkan guru itu menelefon untuk memaklumkan kes gantung sekolah salah seorang pelajar yang mana penjaga perlu hadir untuk tandatangan akujanji bersama pelajar," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Katanya, lelaki itu adalah bapa saudara kepada pelajar yang terbabit dalam kes hukuman gantung sekolah.

Setelah diterangkan dengan jelas, lelaki itu difahamkan sudah meminta maaf.

Sementara itu, tinjauan ke laman sosial Facebook melihat video berkenaan sudah tular ke beberapa kumpulan mendapat ribuan tontonan dan dikongsi ratusan netizen.