Video tular di aplikasi WhatsApp memaparkan pengurusan jenazah seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Lubok China, Alor Gajah dekat sini yang kononnya meninggal dunia akibat COVID-19 dan dibawa ke Hospital Melaka pada Khamis adalah palsu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Ismail Ali berkata sebaliknya video tersebut adalah paparan prosedur operasi standard yang dijalankan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia bagi jenazah yang disyaki berkaitan COVID-19.

"Video yang tular itu diambil secara rambang oleh individu yang tidak dikenali dan dakwaan mangsa meninggal dunia akibat COVID-19 adalah palsu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata orang ramai digesa tidak membuat sebarang andaian dan menyebarkan berita tidak benar berkaitan COVID-19 sebaliknya perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa.

Katanya orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang maklumat sahih atau pertanyaan berkaitan COVID-19 boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel ([email protected]).

-- BERNAMA