Kementerian Pendidikan memandang serius isu penyebaran video beberapa pelajar perempuan dari sebuah sekolah di Bachok, Kelantan yang didakwa meminum cecair dipercayai air ketum di media sosial baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata siasatan ke atas video berkenaan sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan dan jika didapati dakwaan itu benar, tindakan akan diambil ke atas pelajar-pelajar terbabit.

“Ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku melibatkan pelajar sekolah; apabila berlaku tindakan mesti diambil kepada pelajar-pelajar terlibat.

“Saya serahkan perkara kepada JPN Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok untuk tindakan selanjutnya kerana ini benda yang salah dari segi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke SMK Clifford, di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, gambar serta video beberapa pelajar berkenaan yang menyaksikan mereka minum cecair yang didakwa air ketum dari sebotol air minuman secara bergilir viral di laman Facebook.

Susulan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Mit Emong berkata pihaknya akan melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Sementara itu, Mahdzir turut memberi jaminan akan melakukan pemantauan ke atas sekolah-sekolah berusia 100 tahun ke atas di seluruh Malaysia bagi memastikan ia diselenggara dengan baik.

Beliau berkata pemantauan ke atas sekolah-sekolah yang dikenali sebagai sekolah “premier” itu akan turut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pendawaian.

“Kita akan tengok bagaimana boleh sedikit sebanyak (kementerian boleh) membantu sekolah (premier) dalam konteks penyelenggaraan.

“Kita ada lebih kurang 20 sekolah yang berusia lebih 100 tahun, jadi kita akan pantau sekolah ini bagi memastikan ia dijaga dengan baik,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke SMK Clifford di sini pada Selasa.