Tourism Malaysia yang melancarkan secara rasminya kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Singapura pada Selasa, menyasarkan ketibaan lebih 12 juta pelancong daripada republik itu pada tahun depan.

Tourism Malaysia juga optimis mencatatkan peningkatan tiga hingga lima peratus ketibaan pelancong dari negara jiran di selatan Malaysia itu bagi seluruh 2019.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Singapura, Edzuar Zar Ayob Azari, bagi tahun ini, Tourism Malaysia menjangkakan ketibaan 12 juta pelancong daripada negara pulau itu.

"Berdasarkan trend semasa, kita akan menyaksikan peningkatan antara tiga hingga empat peratus ketibaan pelancong daripada Singapura pada tahun ini berbanding pada 2018," katanya kepada Bernama ketika ditemui bersempena pelancaran VM2020.

Kempen VM2020 di sini dilancarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Zainol Rahim Zainuddin, bersama-sama dengan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia, Azilina Azni Zainal Abidin.

"Kami juga menyasarkan peningkatan tiga peratus kepada ketibaan 12 juta pelancong daripada Singapura ke Malaysia tahun depan," kata Edzuar.

Bagi separuh pertama 2019, rakyat Singapura merupakan jumlah pelancong asing tertinggi yang tiba ke Malaysia iaitu sebanyak 5,381,566 berserta dengan resit perbelanjaan tertinggi sebanyak RM11.56 bilion.

Ketibaan pelancong Singapura, bagaimanapun, merosot 14.7 peratus kepada 10.62 juta pada 2018 berbanding pada 2017 disebabkan antara lain, kesesakan trafik di Tambak Johor-Singapura dan perubahan trend melancong dalam kalangan rakyat Singapura.

Edzuar berharap inisiatif oleh jawatankuasa khas dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, dan sekali gus dapat menarik ketibaan lebih banyak pelancong daripada Singapura.

Pada mesyuarat pertamanya yang diadakan pada 21 Ogos, jawatankuasa itu berkata antara lain, Malaysia akan mengkaji untuk melebar dan memanjangkan Tambak dan memperbesar kompleks pemeriksaan untuk menangani kesesakan teruk di laluan antara Johor dan Singapura itu.

-- BERNAMA