Sebanyak 873 kes wabak campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekaligus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi.

Beliau berkata majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus).

"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua kematian dan belum ada kematian pada tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, iaitu peningkatan hingga lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015," katanya.

Bagi wabak cacar air atau chicken pox, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding 167 pada 2015 dan 125 pada 2014.

Katanya, tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh tiga tahun, serta majoriti kes bagi tahun ini melibatkan institusi (90 peratus) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan.

Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit.

Katanya, imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Menurutnya, gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sehingga menyebabkan liputan itu boleh menurun sehingga kurang daripada 95 peratus.

Katanya data dari klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes yang menolak vaksin dalam kalangan ibu bapa meningkat daripada 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014.

Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak dan cacar air adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, taska, tadika atau sekolah.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.

"Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian," katanya.