Wabak denggi di Terengganu masih terkawal dan tiada kematian dilaporkan dalam tempoh Januari hingga 4 Mac lepas, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Katanya hanya dua daripada tujuh daerah di negeri itu menunjukkan peningkatan kes dengan jumlah keseluruhan 198 kes setakat Selasa lepas.

Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 150 iaitu 137 demam denggi biasa dan baki demam denggi berdarah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perhimpunan Penyayang dan Budaya Integriti dan Akauntabiliti di Hospital Daerah Besut, di sini hari ini.

Beliau berkata Dungun dan Besut masing-masing mencatatkan 14 kes, Marang (8), Kemaman (7) manakala Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing satu kes.

Katanya setakat ini pihaknya memberi notis amaran pembersihan kepada 977 premis.

Pemeriksaan juga mendapati kebanyakan kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes terletak di bandar, katanya.

"Jabatan Kesihatan akan meneruskan program 'Ayuh Gempur Aedes' dan 'Ops Gempur Aedes' selain menggerakkan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah serta mengadakan gotong-royong membersih kawasan dengan lebih kerap sehingga masalah denggi dapat dihapuskan," katanya.