Tutup

Wabak rabies di Sarawak akan terus dipantau - Dr Dzulkefly

Wabak rabies di Sarawak akan terus dipantau - Dr Dzulkefly
DR DZULKEFLY: Memang pemantauan secara berterusan akan sentiasa dijalankan agar wabak rabies tidak kembali merebak. - Foto BERNAMA
KUALA LIPIS: Kementerian Kesihatan akan terus memantau penularan wabak rabies di Sarawak berikutan terdapat kes baharu yang menyebabkan kematian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Memang pemantauan secara berterusan akan sentiasa dijalankan agar wabak rabies tidak kembali merebak.

Pada setiap gigitan (gigitan anjing) itu kalau positif kami akan tangani dan kami akan rawat," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan, di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, seorang warga emas disahkan meninggal dunia akibat wabak rabies di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Lelaki berusia 80 tahun itu yang berasal dari Kampung Sungai Du'uh, Serian dikatakan mengalami demam pada 11 Jan, sebelum dimasukkan ke HUS, tiga hari kemudian.

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah kematian akibat rabies dalam kalangan manusia di Sarawak ialah 16 kes sejak pengisytiharan wabak itu pada 1 Julai 2017.
Sementara itu Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata jentera Amanah akan bekerja keras bersama-sama rakan parti komponen lain untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

"Itu tanggungjawab kami sebagai semangat Pakatan Harapan, kami saling berganding bahu untuk memenangkan calon kami (Manogaran).

Apa pun kami tetap pasrah dengan keputusan dan kami akan lakukan yang terbaik," katanya.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan dan BN serta dua calon bebas.

Calon-calon berkenaan ialah Manogaran yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pahang mewakili PH, pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40 tahun.

-- BERNAMA


Tag: Kementerian Kesihatan, pantau, penularan, wabak rabies, Sarawak, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, gigitan anjing, kematian, Hospital Umum Sarawak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.