Wakil Malaysia berangkat untuk temui 47 yang ditahan di Kemboja

Wakil Malaysia berangkat untuk temui 47 yang ditahan di Kemboja
Larry Sng menunjukkan gambar sebahagian daripada 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja tanpa bicara pada satu sidang media di Kuching, 7 Feb, 2019. --fotoBERNAMA/Fail
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama sekumpulan wakil media dan wakil keluarga berlepas ke Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pagi ini bagi melawat 47 rakyat Malaysia yang ditahan di negara itu sejak 11 Dis lepas.

Sng berkata sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap pada 8 pagi waktu tempatan nanti, rombongan yang turut disertai seorang pegawai perubatan akan menempuh perjalanan darat selama 2 jam menuju ke penjara yang terletak di bandar Poi Pet.

"Saya dimaklumkan wakil kedutaan akan membantu rombongan untuk mendapatkan pelepasan daripada pihak Penjara Provinsi Banteay Meanchey bagi melawat kesemua 47 tahanan berkenaan," katanya kepada Bernama News Channel di sini, hari ini.

Mengenai perancangan lawatan dua hari satu malam itu, Sng berkata beliau akan mengumpul sebanyak mungkin maklumat kes yang dihadapi belia-belia berusia 18 hingga 21 tahun itu.
"Saya ingin melihat sendiri keadaan mereka dan mendapatkan gambaran jelas terhadap situasi yang dihadapi kesemua mangsa. Kehadiran saya ke penjara bagi membantu anggota keluarga mendapatkan maklumat dengan segera tentang keadaan anak-anak yang mereka syaki dianiaya sindiket," katanya.

"Selain itu, saya turut membawa seorang pegawai perubatan untuk melakukan rawatan ringan kepada yang memerlukan memandangkan terdapat laporan sebelum ini ada tahanan Malaysia yang sakit dan dibawa ke hospital untuk pembedahan di perut," jelasnya.

BACA: 47 rakyat Malaysia jadi tahanan di Kemboja 

Menurut beliau, proses membawa pulang mereka mungkin mengambil masa kerana tertakluk kepada undang-undang Kemboja. Bagaimanapun keadilan harus diberikan kepada 47 tahanan ini untuk membela diri jika benar mereka dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.

Khamis lepas, Sng dalam satu sidang media mendedahkan 47 rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.

Menurutnya, mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah selain penahanan tidak dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia di sana.

-- BERNAMA