Tutup

Wakil rakyat perlu diberi latihan peka sensitiviti jantina - TPM

Wakil rakyat perlu diberi latihan peka sensitiviti jantina - TPM
Dr Wan Azizah berpendapat sesi kepekaan jantina perlu dijalankan terutama bagi wakil rakyat yang dipilih dan dilantik agar punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mempertikaikan wanita sebagai ancaman jenayah kerana etika berpakaian atau cara percakapan adalah tanggapan yang salah dan tidak tepat, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai mengulas kenyataan seorang senator di Dewan Negara semalam.

Sambil menyambut baik tindakan Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang menarik balik serta memohon maaf atas kenyataan beliau semalam, Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, senator PKR itu seharusnya lebih prihatin dan sensitif akan pendirian parti berkait isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual.
"Para pemimpin politik termasuk wakil rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kaum wanita malah lelaki juga, sentiasa dilindungi daripada jenayah seksual.

"Saya sememangnya terkejut membaca cadangan Mohamad Imran agar undang-undang gangguan seksual diperkenalkan untuk melindungi lelaki daripada tergoda akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan mereka terjebak dengan jenayah seperti sumbang mahram, rogol, meraba dan pornografi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata, walaupun Mohamad Imran telah meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu, beliau berpendapat sesi kepekaan jantina perlu dijalankan terutama bagi wakil rakyat yang dipilih dan dilantik agar punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, menyalahkan wanita untuk perilaku buruk lelaki adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

"Kaum wanita perlu dilindungi daripada jenayah. Bagaimana pula kaum wanita disalahkan kerana menyebabkan berlakunya jenayah terhadap mereka?

"Kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Kenyataan seperti ini tiada tempat dalam sebuah negara yang mendukung prinsip Malaysia Baharu," katanya. - BERNAMA


Tag: wakil rakyat, sensitiviti jantina, Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail, PKR, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.