Walaupun didiagnosis menghidap penyakit leukemia pada 1969, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein telah mengabadikan hidupnya dengan bekerja sekeras yang mungkin untuk negara, kata anak kedua Allahyarham.

Datuk Ahmad Johari, 62, berkata, walaupun doktor meramalkan bapanya hanya mampu bertahan selama dua tahun selepas disahkan menghidap penyakit tersebut, bapanya tetap tabah, malah hidup lebih lama demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Tun Abdul Razak yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak 22 Sept 1970 selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, meninggal dunia pada 14 Jan 1976.

"Allahyarham bapa saya ingin benar untuk hidup lebih lama. Masih banyak yang beliau perlu lakukan.

"Menjadi perdana menteri dan menjaga kepentingan rakyat ketika menghidap penyakit pasti sukar untuk beliau menanggungnya. Allahyarham ketika itu pasti mempunyai semangat luar biasa untuk menghadapinya," katanya kepada Bernama.

BACA: Tun Razak, pemimpin berjiwa rakyat


Ahmad Johari yang lembut tutur bahasanya berkelulusan undang-undang seperti bapanya dan merupakan rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman utama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata antara tugas yang ingin dilakukan Allahyarham bapanya ialah melancarkan rancangan ekonomi negara ketiga, menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Bali, menyelesaikan konflik politik berikutan pendakwaan Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) dan juga menangani pemberontakan komunis.

Ahmad Johari yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of Kent, United Kingdom, mengimbas kembali detik-detik terakhir bersama Allahyarham bapanya apabila Tun Razak berangkat ke London pada Disember 1975 dan kemudian dimasukkan ke hospital di negara itu pada Januari 1976.

BACA: 40 tahun perginya 'Bapa Pembangunan Malaysia'

Pada masa itu, beliau berusia 21 tahun dan berada dalam tahun akhir untuk menghadapi peperiksaan undang-undang.

Ahmad Johari berkata perbualan terakhirnya dengan Allahyarham Tun Razak ialah antara 12 dan 13 Jan di hospital itu apabila bapanya meminta beliau untuk membeli sut baharu.

Allahyarham Tun Razak meminta anaknya itu mengambil beg bimbitnya lalu memberikan 40 pound.

Ahmad Johari berkata beliau menggunakan wang itu untuk membeli sut baharu sebulan kemudian dan memakainya pada acara-acara penting sehinggalah sut itu tidak muat untuk dipakainya lagi.

"Ia merupakan hadiah terakhir Allahyarham kepada saya," katanya dan menambah bahawa beliau masih merindukan bapanya.

Ahmad Johari bersyukur Allahyarham bapanya dapat menikmati hidup sepenuhnya dan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Allahyarham yang dilahirkan 94 tahun lalu, dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan' atas sumbangannya membawa pembangunan kepada negara termasuk pembangunan luar bandar dengan menubuhkan Felda.

Selepas rusuhan kaum pada 1969, atau Tragedi 13 Mei, Allahyarham Tun Razak juga mencetuskan idea penubuhan Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan 'Perikatan' supaya semua parti politik mewakili semua etnik di Malaysia bersatu di bawah satu gabungan, justeru membolehkan mereka fokus kepada usaha membangunkan negara dan mengurangkan politiking.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 53 tahun dan beliau baru memasuki tahun kelima pelaksanaan dasar-dasar utama yang diperkenalkan pasca 1969, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membawa kepada penukaran bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia di sekolah-sekolah kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa, Allahyarham memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974 dan Malaysia ialah negara anggota ASEAN yang pertama berbuat demikian.

Allahyarham Tun Razak dan isteri Tun Rahah Mohammad Noah dikurniakan lima orang anak lelaki dan yang sulung merupakan Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib.