Walaupun popular namun itu bukanlah alasan untuk restoran India Muslim atau restoran mamak beroperasi sehingga melebihi tempoh ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keistimewaan diberikan kepada pengusaha restoran tersebut yang seharusnya mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

“Tiada keistimewan dari segi pematuhan SOP (prosedur operasi standard) termasuk kedai mamak. Walaupun kedai mamak popular, ramai orang boleh duduk di situ sampai Subuh pun dulu tapi sebab peraturan kita dah buat.

“Jadi pengusaha mana sekalipun mesti mematuhi SOP dikeluarkan, tutup pukul 10 malam. Itu jelas, sudah ada dalam peraturan termasuk penjarakan sosial, pengambilan suhu sebelum masuk, tulis nombor telefon dan nama penuh.

“Sama saja. Tak boleh sebab rasa mereka popular, mereka buka suka hati, tak boleh,” tegas beliau dalam media harian, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mana-mana restoran yang gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Tidak ada pengecualian terhadap sesiapa pun daripada SOP yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.