Apa jua kemelut politik yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat (PR) masa ini, ia tidak akan menggugat keutuhan Parti PAS.

Menurut Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz, PAS ialah sebuah parti yang matang dan berpengalaman dalam mendepani pelbagai cabaran sejak awal penubuhannya.

“Dasar PAS ialah memperjuangkan Islam dan ini akan kekal selamanya sama ada PAS bergabung dengan mana-mana parti atau sebaliknya,” kata Nik Aziz ketika ditemui di kediamannya di Kota Baharu, Kelantan awal hari ini.

“Jadi sekarang ini PR ‘KO’ apa nak buat dengan keputusan tak ada apa, tapi PAS turut keputusan yang dibuat Presiden Parti dan saya menyokong penuh,” kata bekas Menteri Besar Kelantan itu.

PAS ialah sebuah parti yang matang dan berpengalaman dalam mendepani pelbagai cara cabaran dan rintangan sepanjang zaman termasuk dalam beberapa siri perpecahan dalam kerjasama politik yang dilakukan sebelum ini.

Menurut Nik Aziz, parti tersebut pernah bersama dengan UMNO sekitar tahun 1970, namun berpecah selepas itu.

PAS juga pernah bersama dengan Semangat 46 dalam angkatan perpaduan ummah (APU) pada tahun 1990 namun berpecah jua.

PAS juga pernah bersama dengan DAP dan Parti Keadilan dalam barisan alternatif (BA), sekitar tahun 1999, namun selepas itu DAP mengumumkan untuk meninggalkan BA.

Apa yang menarik, walaupun PAS berpecah dalam kerjasama politik yang dijalinkan, ia masih berdiri teguh dan utuh sehingga kini.

“Saya nak menyebut tentang hak saya sendiri, iaitu PAS Kelantan mengalami bermacam-macam masalah dengan parti lain.

“Kita mula dengan menyertai Barisan Nasional berdasarkan Tun Abdul Razak selepas 13 Mei. Saya dan Tan Sri Datuk Mohamad Asri Muda (bekas Presiden PAS) menyokong kuat masuk UMNO tetapi entah bagaimana kita ditendang keluar namun kita tegap duduk dengan keadaan kita, tidak mengapa berlaku kali kedua dengan Semangat 46. Kita bersama mereka akhirnya dan kita teruskan jua -- itu sejarah kita,” katanya.

PAS, katanya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku pada masa ini dan akan datang, dan sekiranya PAS terpaksa berdiri sendiri, parti itu mampu melakukannya dengan sokongan padu ahlinya.

Beliau juga menasihati semua pihak supaya menjaga lidah dan tidak bercakap perkara yang tidak benar.
Pada 7 Ogos lalu, Majlis Syura Ulamak membuat keputusan supaya mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan dengan sebarang pelanggaran amanah.

Keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dengan melihat kepada kepentingan rakyat yang seharusnya mendahului kepentingan individu atau parti.