Walaupun saya tak faham E-Sukan, demi anak muda kita tetap sokong - PM Najib

Walaupun saya tak faham E-Sukan, demi anak muda kita tetap sokong - PM Najib
DATUK SERI NAJIB: E-Sukan dilihat mempunyai potensi yang luas untuk dibangunkan, dan ia dijangka dapat meningkatkan ekonomi digital di negara ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Walaupun tidak begitu memahami keseronokan di sebalik permainan alam maya atau permainan siber ini, itu tidak bermakna kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan menolak kehendak atau aspirasi anak muda negara ini yang begitu meminati industri itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus menyokong sebarang usaha yang dapat membantu perkembangan industri e-sukan di negara ini.

“Cyber games ini satu jenis permainan yang mungkin generasi saya, generasi Datuk Salleh (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak) bersama saya ni, kami tak faham sangat apa yang disukai oleh saudara-saudari sekalian.
“Tetapi ini menunjukkan kita bukan jenis kerajaan yang tolak (industri E-Sukan) apabila kita tidak faham. Tapi kita mahu embrace the change, the digital economy, the fourth industrial revolution, dan inilah the new lifestyle untuk orang muda,” katanya ketika berucap merasmikan Malaysia Cyber Games 2018 (MCG2018), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

MCG2018, yang dianjurkan selama dua hari bermula 13 Januari, telah merekodkan penyertaan hampir 2,000 anak muda dalam permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang, CS:GO, DOTA, FIFA 2018 dan Justice of League.

MCG18 dianjurkan Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) dan Briged Kesatria dengan kerjasama Tune Advertising Sdn Bhd, dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM300,000.

Apa yang lebih istimewa ialah apabila acara itu turut menerima pengiktirafan daripada Malaysian Books of Records sebagai penganjuran permainan alam maya terbesar di negara ini.
Datuk Seri Najib dalam ucapannya turut mengiktiraf MCG sebagai persatuan yang mewakili industri e-sukan di negara ini.

“Sebab itu saya sokong apa yang Armand sarankan, bahawa Malaysia Cyber Games diiktiraf persatuan yang wakili e-sports di Malaysia. Dengan adanya badan ini, diharap kita dapat merancang perkembangan untuk industry ini dengan lebih sistematik,” katanya lagi.

Beliau berkata, E-Sukan dilihat mempunyai potensi yang luas untuk dibangunkan, dan ia dijangka dapat meningkatkan ekonomi digital di negara ini.

Sementara itu, pengerusi SAM1M, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, susulan pengiktirafan Perdana Menteri ke atas MCG, pihaknya akan merangka kertas kerja yang lebih menyeluruh sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia agar MCG dapat diletakkan di bawah program pembangunan Majlis Sukan Negara.